KetidakLOGIKan A ' La Mahathir
                                                     JADIKAN MAHATHIR KETUA PEMBANGKANG:

             Semenjak akhir-akhir ini “bakal Ketua Pembangkang”, Dr. Mahathir banyak mengutarakan logik dan pandangannya yang jika diteliti tidak banyak menjawab persoalan yang diutarakan oleh rakyat. Di perhimpunan Agung UMNO yang lalu beliau lebih banyak menghabiskan masa ucapannya dengan menghentam YB Dato’ Seri Anwar dan parti alternatif – yang bakal membentuk kerajaan. Persoalan mengenai Putrajaya yang dijelaskan beliau banyak menyingkap kelemahan dirinya dan UMNO dari menangkis tuduhan yang dilemparkan kepadanya. Beliau menjelaskan bahawa projek mega adalah lebih menguntungkan dari membina projek – projek perumahan kos rendah. Pada logik Mahathir membina projek perumahan/petempatan adalah tidak ekonomikal. Jelas di sini Mahathir tidak memahami sejarah perkembangan manusia dan ekonomi. Sebelum wujudnya aktiviti ekonomi atau perdagangan, manusia primitif tinggal di dalam gua. Hanya setelah petempatan secara bermasyarakat wujud maka barulah wujudnya aktiviti perdagangan. Pada mulanya mereka berdagang diantara satu sama lain dalam petempatan mereka sendiri. Setelah wujud banyak petempatan yang berselerak maka wujudlah perdagangan antara
petempatan ini yang boleh kita anggap aktiviti import – eksport. Jelas melalui sejarah nenek moyang kita bahawa pemangkin kepada aktiviti ekonomi atau perdagangan adalah petempatan. Jadi di mana logik Mahathir bahawa projek perumahan atau petempatan tidak menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi.

 Bahkan beliau turut mengakui bahawa hanya setelah dibina perumahan di Petaling Jaya maka barulah bandar Petaling Jaya berkembang pesat sehingga ke hari ini. Mahathir mengatakan pembinaan rumah yang banyak tidak akan menguntungkan kerajaan. Tidakkah beliau tahu bahawa lebih banyak rumah dibina, lebih banyak cukai tanah dan pintu yang dapat dikutip kerajaan, lebih banyak perabut yang akan dibeli dan membantu pertumbuhan industri perabut dan kayu kayan negara? Bahkan TNB dan Telekom dapat memperolehi lebih untung dengan pertambahan pelanggan, banyak kedai-kedai perlu dibina untuk kemudahan masyarakat dan pekedai/syarikat ini pasti perlu membayar cukai dan lesen perniagaan. Adakah ini merugikan kerajaan? Bagaimana pula dengan industri pembinaan dan penghasilan bahan mentah pembinaan seperti simen,  keluli, kaca,
jentera berat dan sebagainya? Banyak rumah dibina banyak keuntungan yang diperolehi mereka dan kerajaan dapat untung juga kerana syarikat ini membayar cukai. Bank dan syarikat kewangan juga mendapat faedah dengan pemberian pinjaman dan pembelian insurans oleh pembeli rumah, apakah syarikat dan bank ini tidak menyumbangkan sesuatu kepada kerajaan?
Apakah Mahathir lupa akan janji parti yang dipimpinnya untuk membela dan menjamin kemudahan rakyat? Mana yang lebih membela dan memudahkan rakyat, rumah dan kemudahan asas atau KLIA, Menara Petronas, Empangan Bakun, Litar Lumba F1 Sepang, Putrajaya serta mahligai dan jet PM? Jelas sekali Mahathir telah menyimpang dari matlamat asal parti yang
dipimpinnya.

 Putrajaya yang amat dibanggakannya itu, menurut beliau akan menguntungkan kerajaan. Dari segi apa? Menurut kata-kata Mahathir sendiri dengan terbinanya Putrajaya maka bangunan kerajaan yang ada di KL akan dijual dan hasil penjualan ini akan dapat menampung SEBAHAGIAN kos membina Putrajaya. Penjualan rumah-rumah, tanah dan premis di Putrajaya akan dapat menampung SEBAHAGIAN lagi kos pembinaan Putrajaya. Jadi dimana untungnya jika semua penjualan  bangunan kerajaan di KL dan binaan di Putrajaya hanya dapat menampung keseluruhan kos pembinaan Putrajaya? Kalau setakat pulang modal sahaja maka tiadalah untung namanya mengikut logik ekonomi. Bangunan yang dibina di Putrajaya juga amat indah dan canggih binaannya, serta lanskap buatan manusia yang sedap mata memandang. Kos projek menelan belanja RM20 bilion. Bukankah dasar kewangan semua kerajaan di dunia ini adalah berbelanja pada kadar yang paling menjimatkan wang rakyat? Putrajaya dibina untuk menempatkan kementerian dan agensi kerajaan sebagai pusat pentadbiran maka dimana logiknya untuk membina bangunan yang serba indah dan canggih rekabentuknya jika fungsi utamanya adalah untuk mentadbir dan mengurus
negara ini? Kerajaan yang cekap dan prihatin tidak memerlukan bangunan yang begitu indah sebaliknya menteri dan pegawai perkhidmatan awam yang amanah, bertanggungjawab dan berdedikasi kepada negara. Mungkin pada Mahathir bangunan yang indah itu dapat menutup kelemahan, kepincangan, kecacatan dan korupsi yang mencengkam kuat kerajaannya khususnya para
menterinya. Ibarat seorang wanita yang buruk, jika memakai solekan yang tebal dan banyak akan kelihatan lebih buruk lagi.

            Mahligainya yang dikatakan bernilai RM 200 juta itu cuba dilindungi Mahathir dengan menyalahkan YB Dato’ Seri Anwar. Apakah logik jika projek Putrajaya yang dimulakan pada tahun1990, pada masa Mahathir menjadi PM, Ghafar menjadi TPM dan Daim sebagai menteri kewangan, kesalahan dan kecacatan yang mencurigakan rakyat diletakkan pada bahu
YB Dato’ Seri Anwar yang pada masa itu adalah menteri pendidikan? Apatah lagi pengerusi jawatankuasa kabinet mengenai projek Putrajaya adalah Mahathir sendiri. YB Dato’ Seri Anwar adalah pengerusi jawatankuasa kabinet mengenai KLIA. Alasan Mahathir mahligai itu dibina sedemikian kerana YB Dato’ Seri Anwar mahu menduduki rumah yang besar dan mewah
atau “grandeur” kerana YB Dato’ Seri Anwar dah gila kuasa, sombong dan tak sabar hendak berkuasa. Jika dilihat pada sejarah, pada 1984 yang mengarahkan pembinaan Sri Perdana walhal Sri Taman masih elok adalah Mahathir sendiri. Sri Perdana adalah lebih besar dari Sri Taman dan menelan belanja RM 20 juta. Jadi tidak mustahil mahligai itu dibina atas arahan Mahathir sempena alaf baru yang mendatang, tambahan pula beliau yang menyelia dan mengawal projek Putrajaya. Siapakah yang cenderung untuk membina sesuatu yang terbesar, terpanjang, tertinggi dan tercantik (semestinya termahal juga), YB Dato’ Seri Anwar atau Mahathir? Tepuk dada tanya selera. Jumlah bilik mahligai itu turut dijadikan senjata untuk menunjukkan bahawa ia dibina atas kehendak dan citarasa YB Dato’ Seri Anwar. Logik Mahathir, mahligai itu di bina dengan enam bilik
tidur kerana YB Dato’ Seri Anwar ada enam anak. Jika logik ini hendak diguna pakai maka semestinya mahligai itu ada tujuh bilik. Jika enam sahaja, YB Dato’ Seri Anwar dan YBhg. Datin Seri Wan Azizah nak tidur dimana? Sg.  Buloh? Tambah tidak logik lagi Mahathir mengatakan kos mahligai itu adalah RM 17.5 juta sahaja. Sri Perdana yang jauh berganda lebih kecil, yang dibina 16 tahun dahulu memakan belanja RM 20 juta masakan pula  mahligai itu yang dibina ketika gawat dan amat besar saiznya hanya memakan belanja RM 17.5 juta sahaja? Inilah logik Mahathir.

 Tidak cukup dengan itu dikatakan oleh Mahathir bahawa YB Dato’ Seri Anwar itu agen asing dan menjual rahsia negara kepada negara asing. Dokumen rahsia ditunjukkan oleh YB Dato’ Seri Anwar kepada orang asing. Hujahnya diperkuatkan oleh beliau dengan merujuk kepada laporan media asing yang amat bersimpati dengan YB Dato’ Seri Anwar. Mahathir turut
menggelarkan YB Dato’ Seri Anwar pengkhianat kerana memberi temubual dengan media asing dan menghentam Mahathir dan UMNO di media asing. Adalah tidak memeranjatkan untuk pemimpin UMNO menggelar orang atau pihak yang menentang mereka sebagai ejen negara asing dan pengkhianat. Sejarah tidak pernah lupa bagaimana Mahathir menghentam dan menyerang Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman dalam sepucuk surat bertarikh 17 Jun 1969 yang ditulis Mahathir dan disebar kepada khalayak selepas 13 Mei 1969. Akibatnya Mahathir disingkir dari jawatan Ahli MKT UMNO(12 Julai 1969)  dan dibuang dari parti(26 September 1969). Selepas itu Almarhum Tunku menyerang Mahathir dengan gelaran pengkhianat kerana Mahathir menentangnya. Mahathir kemudian membawa diri ke London atas tanggungan (Tan Sri) Ananda Krishnan dan dari London Mahathir mengkritik dan menulis artikel yang menghentam Almarhum Tunku dan kerajaan Malaysia sebagai komunis,autokratik, menindas, tiada kebebasan bersuara dan Almarhum Tunku telah nyanyuk. Selepas terbitnya artikel Mahathir yang tersiar di dada akhbar British dan kemudiannya dipetik akhbar Amerika dan Singapura maka Almarhum Tunku menggelarnya pula anasir asing (agen asing zaman itu). Maka sekarang sejarah berulang kembali. Mahathir menggelar YB Dato’ Seri Anwar pengkhianat, dia juga pernah digelar pengkhianat oleh Almarhum Tunku dahulu. Bak kata orang Inggeris, “it
takes one to know one”. Mahathir mengatakan tiada pemimpin UMNO yang menderhaka sebagaimana YB Dato’ Seri Anwar menderhaka kerana YB Dato’ Seri Anwar sanggup bersekongkol dengan parti alternatif untuk menyerang UMNO.  Mungkin Mahathir lupa semasa dia dibuang dari UMNO, Mahathir menggunakan platform PAS untuk menghentam UMNO dan Almarhum Tunku. Bagaimana pula dengan Tengku  Razaleigh yang bukan sahaja bekerjasama dengan PAS tetapi telah menubuhkan Parti Melayu Semangat 46. Beliau juga pernah memberi temubual dengan media asing khususnya dari Australia dan memburukkan Mahathir dan Kerajaan BN. Pemimpin UMNO memanggilnya pengkhianat dan agen asing. Bahkan pada 1987 sewaktu Ku Li menentang Mahathir dan Musa ditentang Ghafar, isteri Musa dilabel agen asing dan agen CIA kerana Musa tidak menyokong Mahathir. Jika UMNO tidak dapat menerima pengkhianat negara maka mengapa ahli UMNO membenarkan parti mereka dipimpin oleh presiden yang dahulunya menjadi pengkhianat negara dan agen asing? Mengapa UMNO Kelantan dipimpin oleh pengkhianat negara dan penderhaka bangsa?

 Menentang UMNO maka orang itu adalah pengkhianat negara dan agen negara asing mengikut logik Mahathir. Jika ini benar, maka YB Lim Kit Siang adalah ketua pengkhianat negara dan agen asing di Malaysia, kerana YB Lim memimpin Ahli Parlimen yang menentang UMNO. Maka jadilah Malaysia satu-satunya negara di dunia yang membenarkan pengkhianat-pengkhianat
untuk membahaskan undang-undang dan akta negara di parlimen dan dibayar gaji pula oleh kerajaan untuk tugas mereka “mengkhianati negara dan menentang kerajaan” di parlimen. Murah hati sungguh kerajaan BN! Tambah pelik lagi sebuah kerajaan negeri di Semenanjung Malaysia diterajui oleh “pengkhianat-pengkhianat negara” dan “agen-agen asing” dan sudah dua  penggal pilihanraya rakyat negeri itu memilih golongan “pengkhianat” ini. Sebagai menghargai golongan “pengkhianat negara” dan “agen asing” ini maka sultan negeri tersebut memberi gelaran Dato’ kepada ketua golongan “pengkhianat negara” dan “agen asing” yang memimpin  negeri tersebut. Bagaimana ini boleh berlaku? Jawabnya MALAYSIA BOLEH! Apa saja
boleh berlaku. Pada Mahathir dan UMNO tidak wujud kata-kata “taat pada perintah Tuhan, raja dan negara” dalam Rukun Negara. Yang ada, taat (bodek dan ampu) pada perintah Mahathir, UMNO dan BN. Itu sahaja. Inilah yang cuba diterapkan oleh Mahathir kepada rakyat.

 Mengikut logik Mahathir “negara asing ingin menguasai negara kita kerana mereka cemburu dengan pencapaian dan pembangunan” yang dikecapi oleh kita. Dalam afidavit polis mengenai Dato’ Nalla Karupan, YB Dato’ Seri Anwar ini jadi agen kepada Amerika Syarikat(CIA) dan disahkan oleh Mahathir dengan berkata “itulah sebabnya dia peluk Setiausaha
Pertahanan Amerika” dan diberi sambutan permaidani merah di AS. Jadi pada Mahathir yang ingin kuasai kita ialah AS kerana mereka cemburu dengan pembangunan kita. Sebuah negara maju cemburu dengan pembangunan sebuah negara membangun?.! AS amat jauh kehadapan dari kita sehinggakan kita memakai teknologi mereka untuk membangunkan negara kita. Bahkan kita mengguna kepakaran mereka untuk membangunkan projek Cyberjaya. Kita tidak ada teknologi seperti mereka. Lazimnya manusia yang tiada dengan apa yang orang lain ada yang cemburu akan orang tersebut bukan sebaliknya. Nak bina Menara Petronas pun guna syarikat dari Jepun dan Korea. LRT disubkontrakkan sebahagian pembinaannya kepada GEC ( syarikat British). Teknologi automotif dicedok dari Jepun dan Perancis. Rekaan dan kecanggihan KLIA guna kepakaran orang Jepun. Nasihat kewangan pakai nasihat Solomon, Smith and Barney (Penasihat Kewangan Negara Malaysia) dari AS. Nak kilang perisian,teknologi dan komponen komputer minta dari Microsoft, Sun Computer, IBM, syarikat asing. Kepakaran yang  mereka berikan pula adalah teknologi yang sudah tidak mereka gunakan dan bukannya teknologi terkini. Jadi mereka sentiasa mendahului kita dan kita cuba mengejar mereka menggunakan teknologi yang mereka cipta, bukannya kita cipta. Jadi takkanlah AS atau negara asing hendak kuasai kita kerana cemburu kejayaan kita sedangkan mereka telah menjangkau jauh dari kejayaan yang kita banggakan. Mungkin Mahathir nak tiru cara Hitler dan komunis China, yang kerap menuding jari kepada orang asing atas masalah yang mereka hadapi. Sudah menjadi lumrah Mahathir, “semua orang salah kecuali aku”.

Rakyat masih ingat bagaimana “bakal Ketua Pembangkang”, Dr. Mahathir menolak cadangan dilaksanakan hukum hudud kerana mengikut logiknya, undang-undang yang sedia ada adalah lebih baik. Menurut beliau lagi jika hudud dilaksanakan maka “ramailah orang yang kudung tangan, boleh buat sup tangan” dan “nak buat jalan tak boleh sebab semua batu habis digunakan untuk merejam” orang berzina. Hudud tak sesuai kerana Malaysia berbilang bangsa dan agama. Tetapi bukankah hudud itu datang dari Allah. Dia lah yang menjadikan manusia berbagai bangsa dan agama dan Dia lah yang menjadikan Islam itu sesuai untuk semua bangsa dan penganut agama lain untuk dipatuhi hukumnya. Allah itu Maha Bijaksana dan Maha Luas IlmuNya. Mahathir adalah bijaksana dan berilmu. Cakap siapa yang kita nak dengar, Maha Bijaksana lagi Maha Luas IlmuNya atau yang bijaksana dan berilmu? Samakah logik manusia dengan logik Allah? Apa yang nak ditakutkan dengan hudud, jika tak buat salah maka pasti tak kena hukum (kecuali jika anda YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, tak buat salah pun kena hukum). Bahkan hudud itu mengajak manusia berfikir sebelum bertindak, adakah faedah perbuatannya setimpal dengan pembalasan yang diterimanya? Jadi dengan ini akan dapat mengurangkan jenayah. Hukuman hudud adalah amat berat jadi menyebabkan manusia takut untuk berbuat salah kerana tuntutan nafsu mereka. Jadi hudud bertujuan menakutkan manusia dari menuruti nafsu jahat mereka. Dalam  kitab-kitab suci semua agama ada terkandung ayat-ayat yang mengancam/menakutkan manusia dari menuruti
nafsu jahat melakukan perbuatan jenayah dan dosa. Tetapi Mahathir menolaknya kerana mungkin bimbang jika dilaksanakan hukum hudud dia dan beberapa menterinya berada di tempat teratas dalam senarai menerima hukuman.

(PERINGATAN KEPADA ORANG ISLAM: MENOLAK SEBAHAGIAN HUKUM DAN MENERIMA SEBAHAGIAN HUKUM ISLAM YANG LAIN MEMBATALKAN SYAHADAT ANDA =KUFUR/MURTAD. TERIMA HUKUM SEMBAHYANG, ZAKAT, PENGHARAMAN RIBA, PUASA DAN LAIN-LAIN HUKUM TETAPI MENOLAK HUKUM HUDUD MAKA TERBATALLAH KEIMANAN ANDA)

 Mahathir sudah tidak releven lagi logiknya kerana hanya berasaskan politik semata-mata tanpa menggunakan pemikiran yang teliti. Apa sahaja yang dikatakannya adalah betul dan orang lain salah, seolah-olah kata-katanya seperti firman tuhan pula. Kempen bahawa hanya BN sahaja yang mampu memerintah adalah sebahagian dari logik Mahathir untuk mereka yang tidak menggunakan logik mereka sendiri. Pentingnya logik ini diterima umum adalah bagi membolehkan Mahathir dan  kuncu-kuncunya mengekalkan kuasa mereka. Pentingnya kuasa ini dikekalkan adalah bagi mengelakkan parti-parti alternatif – yang bakal berkuasa – membongkar segala penyelewengan dan penipuan harta kekayaan negara yang dibuat oleh Mahathir. Itulah logik Mahathir. Tetapi Mahathir, UMNO dan BN perlu dan akan ditumbangkan rakyat dalam pilihanraya nanti. Ini adalah logik rakyat pula.

Hi Fi ,
Shah Alam.
10 Ogos 1999.
P/s Selamat hari lahir yang ke 52 kepada YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim –
10 Ogos 1947.