PETANI PULA DIJADIKAN MANGSA

Teman yang baru pulang dari Pasir Mas memaklumkan sekarang operasi mengugut penanam padi di kawasan Pasir Mas dan Tumpat, Kelantan giat dijalankan. Mungkin sekali fikir macamana kerajaan yang ada melalui UMNO boleh mengugut petani?. Bagi sesetengah orang petani payah kerajaan nak ugut, lainlah kalau kakitangan awam, UMNO boleh ugut untuk pecat atau potong gaji jika melawan kerajaan. Sebenarnya apa yang berlaku ialah petani di dua tempat itu telah dinafikan hak mereka untuk menerima subsidi dari hasil padi dengan cara yang baik.

Memang setiap musim menuai, petani akan menjual hasil padi kepada pihak pembeli dan biasanya petani akan menjualnya melalui orang tengah dimana orang inilah yang akan uruskan kesemuanya dan sebahagian wang subsidi akan diagikan kepada petani dan orang tengah tadi. Petani rata-rata berpuas hati dengan mekanisma yang telah mereka lakukan itu. Orang tengah pula mendapat keuntungan melalui harga padi dan sedikit dari subsidi padi yang diberi petani. Biasanya orang tengah akan menguruskan penjualan padi berkenaan secara berkelompok, dan buku rekod subsidi akan dikumpul bersama. Semua pihak rasa selesa walaupun ada unsur penindasan orang tengah, namun disebabkan oleh penat lelah orang tengah, mereka boleh terima. Masing-masing lega.

Baru-baru ini kerajaan mengeluarkan arahan bahawa penerima subsidi dikehendaki mendaftarkan diri. Satu tempoh masa telah diberikan kepada petani untuk medaftarkan diri mereka dan jika tidak didaftarkan di dalam tempoh masa berkenaan, maka petani yang gagal mendaftarkan diri mereka tidak akan diberikan subsidi. Memang molek kalau urusan penjualan padi menguntungkan petani, namun, apa yang berlaku di Pasir Mas dan Tumpat ialah, buku subsidi dipegang oleh pihak terbabit selepas proses pendaftaran. Apabila petani datang menuntut buku subsidi mereka, petani telah diugut supaya membuat pengakuan/angkat sumpah akan memangkah dacing di dalam Pilihanraya datang.

Adakah ini yang dikatakan tradisi membela rakyat?. Dari apa yang berlaku ini jelaslah bahawa UMNO bukan saja gagal membela rakyat, bahkan pengkhianat kepada rakyat. Kalau betul pembela rakyat, kenapa takut rakyat benci?. Rakyat tidak akan benci kepada pembelanya yang sebenar, tetapi apabila UMNO merasa curiga kalau-kalau tidak diiktiraf rakyat sebagai pembela, maka betullah UMNO telah melakukan sesuatu yang tak betul dan mereka bimbang rasa hati petani akan berubah arah. Lalu sekarang rakyat tahu bahawa subsidi yang kerajaan beri itu pun digunakan oleh UMNO untuk kepentingan politik jahat UMNO semata-mata. Rakyat tidak merasakan bahawa dengan subsidi yang diberikan selama ini itu membolehkan mereka membelakangkan kebenaran dan berdiam diri dengan kesaliman serta kejahatan UMNO selama ini. Maka keadaan yang berlaku akan menambahkan fakta kepada petani bahawa UMNO telah menggunakan mereka untuk kepentingan peribadi semata-mata. Tetapi bukan untuk membela petani.

Teman itu juga memaklumkan, sebagai timbal balas kepada kes subsidi, sekarang program membawa petani-petani dari dua kawasan berkenaan datang ke KL dan melawat pembangunan fizikal di sekitar Kuala Lumpur. Seperti yang dimaklumkan, lawatan berkenaan adalah ditaja sepenuhnya. Siapa yang menaja ialah tidak diketahui. Tetapi di dalam keadaan Setiausaha Agung UMNO kata mereka ada program untuk  membawa masyarakat desa datang ke KL untuk mendedahkan mereka kepada pembangunan yang dah di buat. Tidak mustahil pihak yang menaja petani dari Pasir Mas dan Tumpat itu juga ada pertalian ‘darah’ dengan Setiausaha Agung UMNO. Belanja bukan sedikir diperlukan jika semuanya ditaja, maka timbullah persoalan, siapakah yang kaya sangat sanggup menjadi penaja?.

Tidak pernah ada satu pun negara di dunia yang melakukan perubahan kepada sistem pemerintahannya bermula dari rakyat di desa-desa. Semuanya bermula kesedaran rakyat di kota-kota. Kemudian akan bergerak memasuki ke dalam masyarakat desa, kemudiannya perubahan akan berlaku. Pola pemikiran di kota akan dapat mempengaruhi pola pemikiran di desa-desa. Dengan kata lain perubahan bermula di kota-kota. UMNO pun sedar fenomena alam ini, sebab itulah mereka menjalankan program membawa masyarakat desa ke kota, dengan harapan rakyat di desa akan terpengaruh dengan cerita buatan mereka semasa dibawa mengikuti program lawatan itu. Setakat itu saja kemampuan yang UMNO dapat buat. UMNO mungkin boleh mengubah mangsanya yang berjaya dibawa melawat, tetapi UMNO tetap gagal perubahan yang bakal dibuat oleh masyarakat kota yang mana rata-rata yang tinggal di kota, khasnya KL adalah terdiri dari masyarakat desa juga. Pengaruh mereka bukan sedikit ke atas masyarakat desa. Pengaruh ini gagal dimatikan oleh UMNO.

Cuba kita perhatikan ketika cuti perayaan khasnya Hari Raya Puasa, KL menjadi lumpuh dan lengang kerana penghuni kota pulang ke desa-desa. Tidak mustahil orang yang sama akan pulang ke desa membawa wadah untuk disampaikan kepada masyarakat di desa dimana mereka tinggal. Biasanya hujah mereka jarang disangkal oleh masyarakat di desa-desa, bahkan mereka akan setuju pula. Memang orang yang dibawa melawat itu nampak masyarakat kota hidup dan bergerak di KL serta pembangunan fizikal di sekitar KL, tetapi orang yang datang melawat berkenaan tidak nampak isi hati dan maklumat yang tersimpan di dalam benak serta kepala otak masyarakat kota itu. Isi hati dan pengetahuan masyarakat kota tentang kedurjanaan UMNO itu tidak dapat ditutup oleh UMNO, mereka akan sampaikan juga semua kedurjanaan UMNO kepada masyarakat desa dikampung laman mereka mssing-masing apabila tiba masa yang diperlukan untuk berbuat begitu.

UMNO boleh menutup kedurjaannya dengan membutakan mata masyarakat desa khasnya petani itu dengan mendedahkan mereka kepada bangunan besar dan tinggi yang dah dibuat di KL, tetapi UMNO tidak dapat berbuat apa-apa ke atas penghuni kota yang sedar tentang kedurjanaan mereka, dan penghuni kota itulah yang akan mendedahkan kezaliman, kejahatan, ketakadilan dll yang UMNO telah buat. Hakikat ini tidak boleh dinafikan, kerana cerdik pandai dan cendikiawan serta tokoh-tokoh berada dikota-kota, mereka ini akan pulang membawa berita kebenaran yang dapat mempengaruhi semula petani-petani. Masyarakat kota adalah lebih kritikal dan bermaklumat.  UMNO akan tetap gagal sekiranya terus-terusan mereka selesa dengan kaedah jahat itu.

Sekian

muramozi