SAIFUDDIN CIPTA DUA SEJARAH HITAM

Saifuddin Abdullah sudah semestinya mencipta dua sejarah hitam buat gerakan belia negara. Selaku presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), sebuah badan gabungan gerakan-gerakan belia / pelajar Malaysia, beliau telah mencabul kesucian badan tersebut yang selama ini akur dengan status terpujinya yang non-partisan. Beliau juga telah mencabul kehormatan yang diberi oleh badan gabungan MBM yang mana beliau mewakilinya.

Kenyataan beliau baru-baru ini bahawa MBM menyokong kerajaan Barisan Nasional adalah satu keputusan yang amat memeranjatkan saya, seorang bekas aktivis gerakan belia / pelajar. Saya rasa majoriti aktivis-aktivis dan bekas-bekas aktivis belia / pelajar yang lain juga sudah pasti terkejut besar dan kesal dengan tindakan MBM ini.

Selama ini MBM adalah satu badan gabungan belia / pelajar yang amat dikagumi dan dihormati dengan sikap non-partisannya. Tidak mengapa jika ahli-ahli jawatankuasa MBM atau ahli-ahli jawatankuasa gabungan-gabungannya menjadi ahli mana-mana badan politik kerana itu hak individu mereka. Tidak mengapa jika mana-mana ahli gabungannya memihak kepada mana-mana parti politik kerana itu hak gabungan tersebut. Tetapi yang penting, MBM tidak memihak kepada mana-mana parti atau pakatan politik kerana itu sahaja caranya untuk menjamin golongan belia / pelajar di kalangan segenap lapisan masyarakat, tanpa mengambil kira pendirian politik mereka, dapat bersama di atas satu platform yang neutral yang menghormati pendirian masing-masing ahli gabungan dan ahli jawatankuasa.

Saya khuatir pendirian MBM yang baru ini akan hanya menjarakkan belia / pelajar daripada MBM dan juga badan-badan gabungannya. Ini sudah pasti akan menghancurkan cita-cita murni MBM selama ini untuk menjadi payung yang unggul bagi gerakan belia / pelajar. Pimpinan MBM kini nampaknya tidak lagi mementingkan perjuangan hakiki mereka, entah apa yang mereka perjuangkan sekarang!

Saifuddin juga sudah mencabul kehormatan yang diberi oleh badan gabungan yang beliau wakili selama ini. Tanpa menjadi perwakilan gabungan tersebut, sudah pasti beliau tidak layak untuk bertanding untuk apa-apa jawatan di MBM. Tanpa menjadi perwakilan dan mendapat sokongan gabungan itu, sudah pasti beliau tidak menjadi pemimpin tertinggi MBM pada masa ini. Seperti kacang lupakan kulit, beliau langsung tidak menghormati pendirian gabungan yang beliau wakili yang benar-benar tidak bersetuju dengan keputusan MBM tersebut.

Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa Saifuddin berada di puncak MBM di atas tiket Persatuan Kebangsaan Pelajar-Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) yang juga merupakan salah satu daripada badan-badan bukan kerajaan yang menyertai GERAK. Sehingga kini, daripada apa yang saya dimaklumkan, Saifuddin masih merupakan wakil PKPIM di MBM. Ini sudah semestinya merupakan satu sejarah paling hitam PKPIM sejak penubuhannya.

Mungkin ini silap PKPIM yang melantik seorang wakil yang tidak pernah memegang jawatan tertinggi badan tersebut. Apa pun, PKPIM perlu bertindak dengan pantas, sekurang-kurangnya melucutkan status Saifuddin sebagai wakilnya di MBM. Jika ini tidak dapat dilaksanakan atas apa-apa sebab yang mungkin tidak diketahui, PKPIM hanya mempunyai satu pilihan lain yang drastik, iaitu mengumumkan keluar daripada MBM - ini dengan sendirinya akan melucutkan Saifuddin sebagai wakil PKPIM di MBM. Tanpa mewakili mana-mana ahli gabungan, adakah Saifuddin boleh memegang jawatan di MBM?

Jika beliau terus menerajui MBM tanpa menjadi wakil mana-mana ahli gabungan, beliau akan mencipta sejarah hitam yang ketiga bagi MBM! Jika beliau tiba-tiba menjadi wakil gabungan MBM yang lain, beliau akan mencipta satu lagi sejarah hitam menjadi wakil sejurus selepas menjadi ahli gabungan tersebut apabila ramai lagi pimpinan kanan ahli gabungan itu ingin menjadi wakil di MBM.

Kejayaan Saifuddin di dalam membuat perlakuan di atas hanyalah satu, iaitu beliau akan diingati oleh aktivis-aktivis belia / pelajar buat selama-lamanya bukan sebagai seorang pejuang tetapi sebagai seorang yang mencabul kesucian perjuangan MBM dan kesucian perjuangan badan gabungan yang diwakilinya. Sejarah ini hanya akan terpadam apabila dunia kiamat.
 

ANAK JOHOR
Kuala Lumpur