Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Malaya
Kenyataan Akhbar PKAUM 4/99

PKAUM merujuk kepada ucapan YAB Perdana Menteri Malaysia di Kuala Terengannu pada 29 Julai 1999 seperti yang dilaporkan oleh beberapa akhbar tempatan. Menurut laporan tersebut, profesor Melayu dikatakan mendapat pangkat kerana perlindungan dan keistimewaan yang diberi oleh kerajaan (The Star). Mereka juga dikatakan mendapat kedudukan kerana polisi kerajaan, bukan kerana kebolehan mereka (Harakah). Malahan jika para profesor dikehendaki menduduki Ujian Kepintaran Khas (Special Aptitude Test) ramai yang tidak akan dapat memegang jawatan mereka sekarang (The Sun).

PEKAUM merasa amat terkilan akan kenyataan tersebut. Pertama, ianya telah mendedahkan cara perlantikan profesor yang tidak adil, tidak professional, tidak beretika dan tidak bermoral. Sangkaan selama ini bahawa perlantikan profesor adalah atas kecemerlangan akademik, nampaknya tidak benar.

Kedua, kenyataan tersebut telah memperkecilkan kebolehan dan merendahkan kewibaan profesor Melayu serta ahli akademik Melayu amnya. Masyarakat terutama sekali pelajar akan memandang serong terhadap ahli akademik Melayu. Profesor Melayu akan dianggap sebagai profesor subsidi gred 2.

Sekira kenyataan tersebut telah disalah lapor oleh akhbar, PKAUM ingin mengesa YAB Perdana Menteri supaya:
1) Mengeluarkan kenyataan menafikan kesahihan laporan berita tersebut.
2) Mengarahkan pihak akhbar meminta maaf secara terbuka kepada semua ahli akademik amnya dan profesor Melayu khasnya.
3) Mengarahkan pihak IPTA menyamanmalu pihak akhbar kerana menghina profesor Melayu.

Sekira kenyataan yang telah dilaporkan oleh akhbar itu benar, PKAUM ingin mengesa kerajaan supaya:
1) Mengambil tindakan tatatertib terhadap ahli-ahli jawatankuasa kenaikan pangkat IPTA yang telah menaikkan pangkat seseorang profesor kerana keturunan dan tidak kerana kecemerlangan akademiknya.
2) Menamakan profesor-profesor Melayu yang tidak layak memegang jawatan profesor tetapi diberi juga jawatan tersebut kerana 'kemelayuannya'.
3) Mengarah IPTA melucutkan jawatan profesor Melayu yang berkenaan.
4) Memastikan IPTA melantik profesor hanya berdasarkan kepada kecemerlangan akademik seseorang calon. Perlantikan tersebut hendaklah tidak berdasarkan kepada keturunan atau pengalaman bukan akademik seseorang calon. Perkiraan politik tidak patut dimasukkan.

Sekiranya kerajaan tidak mengambil tindakan-tindakan seperti diatas, PKAUM akan menganggap kenyataan tersebut tidak berasas. Jika ini keadaannya, PKAUM ingin mengesa YAB Perdana Menteri supaya:
1) Menarikbalik kenyataan yang telah dibuat.
2) Meminta maaf secara terbuka kepada semua ahli akademik amnya dan profesor Melayu khasnya.

Prof. Madya Rosli H. Mahat
Presiden PKAUM

Rosli B. Omar
Setiausaha PKAUM
5 Ogos 1999