Sajak :Konspirasi Beracun

Oleh Hassan Karim

Aku tidak ada peluru di tangan
tak ada senjata disandang
untuk membela
sahabatku yang terkurung ditahan
dalam penjara yang menyangsikan

Benarlah sangkaanku
mereka mahu membunuh sahabtku itu
dulu kuingat lagi
mereka datang ke rumah sahabatku
dengan menggalas
machine-gun dan muka bertopeng pengganas
masuk ke rumah tanpa susila
memecah pintu dengan biadap
mereka menjemput penetangan sebenarnya malam itu
supaya mudah peluru dimuntahkan
dari machine-gun itu
kemudian seluruh dunia dikabarkan
satu kemalangan sedih telah berlaku
sahabtku jadi mangsa peluru sesat
yang sengaja disesatkan ke arahnya

Memang mereka sejak mula berkonspirasi
tidak hanya untuk jatuhkan kerjaya politik
mereka pernah lakukan di Memali sebelum ini
kini mereka bersedia untuk satu nyawa mati
jika itu menjanjikan
kekuasan mereka dapat dipertahankan

Mereka memang merancang mati
mereka ada mens rea dan actus reus sekali
mereka berhajat dan bersubahat
mereka berniat jahat

Telah mereka mulakan pada malam sahabatku itu ditahan
mata ditutup dan dia dibelasah di kepala
jika tiada sesiapa menghalang
syaitan yang liar sudah mengalir dalam tubuh
manusia berkuasa yang sudah gila
tetapi Allah menyelamatkan sahabatku,
sahabat kita semua
malam itu
malam tidak aman di Bukit Aman

Tapi biar ada peluru di tanganku
ada senjata dipinggangku
pada saat ini
tidak akan kuacukan
hatta pada musuh yang paling kubenci

tidak tergamak
aku melakukan pembunuhan
kita manusia beradab ada maruah diri
selesaikan pertelingkahan kita secara manusiawi
jangan syaitan dan haiwan
menunggangi diri kita ini

tetapi manusia yang berada
di tampuk kuasa sekarang
yang membina mahligai
demi mahligai
yang menjelajah hampir satu sfera bumi
takaburnya yang tidak terperi
memuji diri sendiri sambil menghina
bekas kawan sendiri
manusia jenis ini mungkin
mungkin
mungkin
mungkin sanggup lakukan apa saja
jika terpaksa
untuk terus berkuasa
kerana mudah saja dia akan beri alasan
seperti dulu juga
yang diserang
dituduh mencederakan dirinya sendiri

Kali ini?
begitukah juga nanti alasan diberi?
dari mana arsenik beracun itu datang?
mahu dibunuh sahabatku perlahan-lahan?

Kejam mereka ini
aku benar-benar akan lawan kali ini

Menjeritlah saudara-saudara sekelian
bangun semula kita semua
berhimpun kembali kita di Dataran Merdeka
pekikkan suara kita sekuat tenaga
Hentikan kezaliman ini
Hentikan kezaliman ini

Tuntutlah kita semua
bawa ke mari algojoh itu
sekarang juga
bicarakan dia
singkap topeng mukanya
siapakah dia?
seorang diri
atau berkonspirasi?
orang upahan?
tanyakan: Siapakah tuannya?

10 September 1999