KENYATAAN MEDIA 12 SEPTEMBER 1999
PERDANA MENTERI MENUDUH
DATUK SERI ANWAR IBRAHIM MEMBUNUH DIRI

Dewan Pemuda PAS Pusat mengutuk keras kenyataan biadap Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad dan Peguam Negara, Datuk Mokhtar Abdullah yang menuduh Datuk Seri Anwar Ibrahim diracun oleh keluarga beliau sendiri. Dr. Mahathir dengan biadap menuduh air kencing Datuk Seri Anwar yang mengandungi racun arsenik setelah di uji di makmal Australia adalah air kencing kepunyaan orang lain.

Nampaknya Dr. Mahathir juga adalah seorang yang buta sejarah dengan mengatakan belum pernah dalam negara kita berlaku pembunuhan bermotifkan politik sedangkan semasa dalam kepimpinannya sebagai Perdana Menteri telah berlaku pembunuhan pemimpin Umno kerana dendam politik. Pada awal tahun 1980-an Datuk Mokhtar Hashim di waktu itu seorang Menteri Kabinet di bawah Dr. Mahathir telah membunuh seorang musuh politik Umnonya. Justeru itu kenyataan Dr. Mahathir ini disifatkan kenyataan orang yang nyanyuk dan orang nyanyuk tidak layak memimpin negara.

Dr. Mahathir terus mengulangi taktik bodoh yang sama dengan memfitnah Datuk Seri Anwar dan keluarga beliau kononnya:

1. Datuk Seri Anwar cuba membunuh diri dengan meracun diri sendiri
2. Keluarga Datuk Seri Anwar cuba membunuh Datuk Seri Anwar dengan memberinya makanan beracun.

Dr. Mahathir sengaja memfitnah Datuk Seri Anwar dengan tuduhan sedemikian semata-mata untuk mengaibkan beliau dan keluarga kerana perbuatan membunuh diri adalah dosa yang amat besar di sisi Islam. Semasa percubaan membunuh kali pertama di mana Datuk Seri Anwar dibelasah Tan Sri Rahim Noor, Dr. Mahathir dengan mulut lancang menfitnah Datuk Seri Anwar memukul dirinya sendiri yang kemudian terbukti Rahim Noor yang membelasahnya. Fitnah jahat Dr. Mahathir ini samalah dengan membaling batu sembunyi tangan, perbuatan jahat terkutuk lagi dikutuk  seumpama sifat orang munafik.

Oleh itu Dewan Pemuda PAS Pusat sekali lagi mempertegaskan Suruhanjaya Bebas mesti dibentuk segera untuk menyiasat kedua-dua percubaan membunuh Datuk Seri Anwar oleh para konspirator politik.  Suruhanjaya Bebas ini mestilah ditubuhkan di bawah Parlimen dan bukan oleh kuasa eksekutif Kerajaan BN/Umno yang korup.

Suruhanjaya Bebas ini mesti menyiasat bagaimana Datuk Seri Anwar yang dalam jagaan pihak berkuasa boleh terkena racun dan menyiasat tuduhan Dr. Mahathir bahawa Datuk Seri Anwar cuba membunuh diri dengan keluarga beliau meracunnya melalui makanan. Cubaan membunuh atau membunuh diri adalah satu jenayah berat dan siasatan yang telus mesti dilakukan untuk membukti yang mana kebenaran atau yang mana fitnah.

Dewan Pemuda PAS Pusat mengingatkan Dr. Mahathir supaya tidak mengalihkan isu sebenar Datuk Seri Anwar diracun dengan membuat pelbagai tohmahan lain seperti alasan mengapa Datuk Seri Anwar baru sekarang membuat laporan polis beliau diracun jika Datuk Seri Anwar sudah mengetahuinya beberapa hari terdahulu. Isunya sekarang adalah Datuk Seri Anwar diracun ketika beliau berada dalam tahanan kerajaan bermula dari lokap polis sehingga dalam  penjara di mana kedua-dua jabatan tersebut berada di bawah Kementerian Dalam Negeri yang sebelum ini Menteri Dalam Negeri adalah Dr Mahathir dan kini Datuk Seri Abdullah.

Dr. Mahathir sebagai Menteri Dalam Negeri ketika percubaan membunuh Datuk Seri Anwar kali pertama adalah bertanggungjawab penuh begitu juga Datuk Seri Abdullah Badawi Menteri Dalam Negeri sekarang harus disiasat seberapa segera. Oleh itu Suruhanjaya ini mesti menyiasat Dr. Mahathir dan Datuk Seri Abdullah serta mereka yang terlibat dalam konspirasi politik akibat percubaan membunuh DS Anwar.

Dr. Mahathir dan Datuk Seri Abdullah mesti meletakkan jawatan dalam kabinet dan kerajaan kerana mereka telah gagal menjalankan tugas menjamin keselamatan Datuk Seri Anwar yang ditahan oleh Polis atau semasa dalam penjara. Kegagalan mereka menjalankan tanggungjawab ini telah mencemarkan imej Polis dan Penjara yang turut sama gagal berfungsi menjaga keselamatan rakyat. Negara dan Rakyat Malaysia telah dimalukan sebegitu rupa di mata masyarakat dunia lantaran sifat tidak bertanggungjawab Dr. Mahathir dan Datuk Seri Abdullah.

Dr. Mahathir sudah sewajarnya mengembalikan semula mandat kepada rakyat dengan membubarkan Parlimen kerana  beliau sememangnya sudah tidak layak dan tidak mampu memerintah negara kita. Rakyat diseru supaya menggunakan undi mereka dengan bijak dan menolak rejim zalim Dr. Mahathir yang memimpin Kerajaan Barisan Nasional/Umno, sebuah  rejim kejam dan zalim tiada tolok bandingnya pernah wujud dalam tanah air kita.

Sudah tiada lagi jaminan keselamatan kepada rakyat ketika mereka ditahan atau ditangkap. Sudah tiada jaminan rakyat tidak akan dipukul, tiada jaminan tidak akan diracun dan tiada jaminan tidak akan dibunuh apabila ditangkap oleh polis atau  ditahan  di dalam penjara. Sudah tiada jaminan keselamatan untuk rakyat hidup aman damai di bawah rejim pemerintahan zalim Dr. Mahathir. Apa yang berlaku kepada Datuk Seri Anwar adalah ancaman baru kepada negara dan rakyat yang inginkan kehidupan harmoni. Mari kita tumbangkan kerajaan zalim kerajaan Barisan Nasional/Umno yang dipimpin oleh Dr. Mahathir.
 

HAJI MAHFUZ HAJI OMAR
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat