Berita ITM
   REKTOR ITM SANGGUP MERENDAHKAN TAHAP INTELEKTUAL PENSYARAHNYA DEMI  UNTUK
MENJADI NAIB CANSELOR PERTAMA ITM

Pada 11 Ogos 1999 telah berlangsung satu perjumpaan di antara Rektor ITM dengan pensyarah.  Semua pensyarah telah dimestikan hadir untuk mendengar amanat Dato Zaidi Laidin yang kononnya bertemakan "halatuju ITM".  Apa yang
sebenarnya berlaku ialah majlis tersebut telah menjadi satu majlis yang memperbodoh-bodohkan para pensyarah.  Semasa menyampaikan amanatnya, Rektor  ITM telah menyatakan bahawa para pensyarah dikehendaki memberi sokongan
kepada kerajaan terutamanya Dr. Mahathir.  Menurut beliau, jika pensyarah memberikan sokongannya, maka mudahlah beliau memujuk Dr. Mahathir untuk mendapatkan peruntukan kewangan yang lebih, kononnya untuk kebajikan  pensyarah.

ITM memang sepatutnya layak untuk mendapat peruntukan yang tinggi jika dibandingkan dengan IPTA yang lain.  Ini disebabkan ITM mempunyai pelajar yang paling ramai dan kampus cawangan yang paling banyak.  Mengapa perlu menunjukkan sokongan baru mendapat peruntukan? Adakah disebabkan tiada sokongan terhadap Dr.Mahathir maka kebajikan pensyarah ITM terpaksa diabaikan?  Satu perkara lagi, bagaimana dengan kebajikan pelajar-pelajar ITM.  ITM sepatutnya telah lama peka dengan rungutan para pensyarah dan pelajarnya mengenai layanan buruk ITM kepada mereka selama ini. Bilik-bilik kuliah banyak yang telah usang.  Pejabat dan bilik-bilik air dibiarkan kotor. Staf dinasihatkan untuk membersihkannya sendiri. Penambahan bilangan pelajar pula tidak diikuiti dengan penambahan bilik-bilik kuliah.

Kononnya pihak kerajaan (Dr. Mahathir?) telah bersetuju untuk memberi peruntukan mendirikan bangunan asrama yang boleh memuatkan ramai pelajar. Bilakah agaknya bangunan ini akan siap? Jika pembinaannya masih lama lagi mengapa ITM begitu ghairah meningkatkan pengambilan pelajar baru setiap semester? Kita tidak mempertikaikan ITM menerima masuk pelajar-pelajar yang layak. Tetapi mengapa pihak pengurusan ITM masih mahu menerima calon-calon kroni (PR candidate?) yang sememangnya tidak layak (kebanyakannya anak orang-orang kaya, anak Datuk, anak Tan Sri)?  Rektor ITM dan Timbalan Rektor  (Pengurusan) sentiasa menyusahkan Dekan-Dekan dengan mengarahkan mereka menerima calon-calon PR yang tidak layak setiap kali semester baru bermula. Calon-calon yang tak layak inilah yang telah menjejaskan peluang
calon-calon  dari kalangan orang kampung yang miskin yang mendapat gred terbaik.

Rektor ITM juga memberi tahu bahawa tidak lama lagi ITM akan dijadikan sebuah universiti dan beliau akan dinobatkan sebagai Naib Cancelor pertama.  Rupa-rupanya tuan Rektor ini telah lupa yang kontrak beliau sekarang (yang telah disambung tahun lepas) akan tamat Disember ini. Sebenarnya beliau sedar bahawa nama beliau tidak disenaraikan sebagai bakal Rektor ITM pada awal tahun 2000. Itulah sebabnya beliau beria-ia mengampu dan menjilat untuk mendapat simpati agar kontraknya disambung. Jika benar ITM akan dijadikan universiti, dan kontrak Dato Zaidi Laidin disambung, maka ITM merupakan
satu-satunya IPTA yang mempunyai Naib Cancelor yang:

(i) tidak pernah mendapat Ph.D (Gelaran 'Dr.' yang diperolehinya sekarang merupakan 'honorary doctorate' yang telah dianugerahkan oleh sebuah  universiti di U.K)

(ii) bukan berpangkat professor (mungkin beliau akan menggunakan pangkat Prof. yang telah dianugerahkan secara ihsan oleh sebuah universiti di U.K. Malangnya beliau tidak pernah mengajar, baik di ITM mahupun di U.K)

(iii) mempunyai pengalaman yang terhad dalam pentadbiran akademik (sebelum menjadi rektor ITM beliau merupakan pengurus sebuah jabatan di TNB)

Demi  meneruskan kerjayanya sebagai Rektor ITM (dan ingin menjadi NC) maka beliau telah mengambil kesempatan (hasil daripada cadangan seorang Timbalan Menteri yang memiliki Diploma ITM yang diragui kesahihannya) untuk menganjurkan perhimpunan perdana siswazah ITM (alumni) bersama Dr. Mahathir di Stadium Malawati Shah Alam. Sumber ITM memberitahu perbelanjaan untuk menganjurkan perhimpunan tersebut melebihi setengah juta ringgit. Iklan dalam semua akhbar harian memakan belanja berpuluh ribu ringgit. Siapakah gerangan agen periklanan yang mendapat durian runtuh ini? (Ibrahim Ali  mungkin tahu!).

Menyedari sambutan yang kurang menggalakkan (walaupun kad-kad jemputan telah diedarkan dan iklan-iklan telah disiarkan) Rektor ITM telah mengarahkan semua pelajar tahun satu menghadiri perjumpaan tersebut. Mengapa beliau menggunakan pelajar tahun satu? Jawapannya mudah. Pelajar-pelajar lama mungkin akan memboikot perjumpaan tersebut disebabkan mereka telah 'fed-up' dengan layanan buruk yang telah diterimanya dari pengurusan ITM selama ini. Pelajar-pelajar baru kononnya mudah digertak dan digula-gulakan. Ada  kemungkinan pada saat-saat akhir nanti, semua staf ITM (akademik &
pentadbiran) diwajibkan hadir demi  mencapai matlamat 10,000 orang yang telah dijanjikan.

Semasa perjumpaan pada 11 Ogos yang lalu, Rektor ITM telah memberi definisi baru terhadap istilah 'alumni'.  Dengan selamba  beliau mentakrifkan 'alumni ITM' sebagai orang yang belajar di ITM (telah lulus, telah gagal atau sedang belajar) dan mereka yang ada kaitan dengan ITM seperti staf pentadbiran dan akademik ITM.  Tujuan beliau memberi takrifan tersebut ialah untuk membolehkan "perhimpunan alumni ITM bersama Dr. Mahathir"  pada 26 Ogos nanti dihadiri oleh orang-orang ini.

Inilah  akibatnya, kononnya  nak tunjuk pandai tetapi menampakkan kebodohan sendiri. Budak-budak sekolah pun tahu makna 'alumni'. Cuba perhatikan definisi 'alumni' yang terdapat dalam Kamus Dewan (alumni bermaksud "siswazah atau
lepasan sesebuah maktab atau universiti").  Cuba lihat pula definisi 'siswazah' oleh kamus yang sama (siswazah bermaksud "orang yang telah lulus dalam peperiksaan terakhir universiti").  Oleh kerana tuan Rektor ini telah berjaya memberi definisi baru terhadap istilah 'alumni' (mungkin beliau telah membuat penyelidikan yang mendalam sama ada di U.K. atau U.S) maka
dicadangkan agar mana-mana universiti di negara ini menganugerahkan ijazah Ph.D kepada beliau. Mungkin ini merupakan satu-satunya sumbangan beliau

terhadap bidang keilmuan.