KENYATAAN MEDIA (13 OGOS 1999)
       DR M ALIH ISU UNTUK SEMBUNYIKAN KESALAHAN PEMIMPIN BN

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) melahirkan rasa kesal di atas tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad yang bertindak mengalihkan isu pendedahan Datuk Seri Anwar Ibrahim tentang penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan pimimpin BN kepada isu Datuk Seri Anwar membawa keluar dokumen kerajaan ke luar negara. DPP Pusat berpandangan pengalihan isu ini bertujuan untuk mengalih pandangan rakyat daripada menyedari kesalahan pemimpin BN kepada menambahkan kesalahan terhadap Datuk Seri Anwar.

Dr Mahathir sengaja membesar-besarkan isu pembawaan keluar dokumen kerajaan dan membayangkan Anwar sebagai mengkhianati negara demi untuk menutup perhatian rakyat terhadap pendedahan Anwar. Tuduhan sebagai musuh negara, agen CIA dan sebagainya dilemparkan kepada Anwar untuk menggambarkan bahawa Anwar merancang konspirasi untuk menjatuhkan kerajaan. Padahal tindakan pemimpin BN yang menyalahgunakan kuasa dan menyelewengkan tanggungjawab
sebagai pemimpin kerajaan adalah jauh lebih membahayakan masa depan negara.

DPP Pusat merasa hairan mengapa dokumen tentang pendakwaan Peguam Negara terhadap Rafidah Aziz, dokumen penyelewengan Perwaja dan dokumen pengakuan tiga tokoh korporat tentang penglibatan Tun Daim dalam penyelewengan dianggap dokumen rahsia negara sehingga menafikan kesalahan dan penyelewengan pemimpin-peminpin BN. Adakah kerajaan hari ini mempunyai klasifikasi baru terhadap erti dokumen rahsia kerajaan. Jika dokumen itu melibat penyelewengan pemimpin BN maka ia dianggap rahsia negara, tetapi jika melibatkan musuh Perdana Menteri maka ia mesti didedahkan walaupun tiada bukti sehingga menjatuhkan maruah pihak-pihak tertentu.

DPP Pusat mendesak Kerajaan BN agar menyiasat dakwaan Datuk Seri Anwar terhadap beberapa menteri kanan Kerajaan BN kerana ia melibatkan kepentingan kerajaan dan rakyat. Bagi rakyat penyiasatan terhadap menteri-menteri ini lebih penting daripada membincangkan soal pembawaan keluar dokumen kerajaan ke luar negara. DPP Pusat melihat tindakan Kerajaan BN menyembunyikan penyelewengan ini adalah juga suatu pengkhianat besar terhadap negara. Perdana Menteri dan
menteri-menteri yang melindungi penyelewengan ini sewajarnya didakwa kerana menyalahgunakan kuasa untuk melindungi menteri yang rapat dengan Perdana Menteri seperti Tun Daim dan Datuk Rafidah Aziz. Penyelewengan ini bukan sahaja menghianati negara tetapi juga menzalimi rakyat yang memberikan harapan kepada mereka untuk mentadbir negara secara telus.

DPP Pusat melihat bahawa Perdana Menteri masih berusaha untuk menutup dan melindungi kesalahan Tun Daim dan Rafidah Aziz dengan menyalahgunakan kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri. Pengalihan isu ini sekali lagi bermaksud untuk menyelamatkan kroni mereka ketika rakan-rakan Anwar dihadapkan ke mahkamah. DPP Pusat menyeru rakyat agar lebih responsif terhadap penyelewengan Kerajaan BN dan bertindak menolak mereka dalam pilihanraya ini untuk mempastikan kerajaan yang lebih telus dapat dibentuk pada alaf akan datang.

 

HAJI MAHFUZ HAJI OMAR

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat