Andainya Jebat...

Andainya Jebat masih bersama
Tentu gembira tidak terkata
Kerana kini impiannya terlaksana
Derhakanya dulu kononnya pada Raja
Demi hajat hapuskan raja yang gila
Kini dilaksanakan anak cucunya
Mamak bendahara gerangannya ketua
Hingga raja berdaulat hanya sekadar boneka

Andainya Jebat bisa mengetahui
Tentu gembira tiada terperi
Tanah tumpah darahnya merdeka kini
Bergema "Merdeka" seantero negeri
Tapi...
Jangan lupa penjajah punya janji
Tidak lepaskan tanahair ini
Selagi pemerintah seumpama mereka tidak ditemui
Apa yang tersirat fikirkanlah sendiri
Apakah makna kemerdekaan ini
Perjuangan perlu diteruskan lagi
Bukan sekadar Barat dan Yahudi
Mamak Bendahara juga perlu kita sedari
Cuba menodai kemerdekaan yang suci ini

Andainya Jebat bisa melihat
Tentu bangga di hatinya terpahat
Projek-projek mega semuanya hebat
SUKOM, KLIA,MSC,Litar Sepang,
Menara KL dan Petronas tentunya gayat
Kini Sukan Asia pula sering teringat-ingat
Menjadi lambang kemajuan sejagat
Walaupun tanahair dalam gawat
Mahligai Mamak Bendahara terus dibuat
Hasil pembohongan kepada rakyat
Mungkin impiannya ingin hidup
hingga alam ini kiamat.

Andainya Jebat berada di sini
Kagum melihat makmurnya negeri
Lahir jutawan bangsanya sendiri
Mungkinkah kaya kerana titik peluh sendiri
Atau jutawan kerana menjadi kroni?
Mengaut untung bak jerung lapar 100 hari
Hanya beberapa persen yang dibahagi
Kepada rakyat yang terpedaya dengan janji
Hingga pendidikan anak anak kini dijual beli
Angkara Mamak Bendahara yang menjunjung panji
UMNO kononnya membela bangsa sendiri
Ataupun cuma kepentingan peribadi
dan anak bini...

Andainya Jebat bisa merasa
Pilu hatinya diruntun sengsara
Kenapakah begini Islam di tanahairnya
Al Quran dan Sunnah sering dipersenda
Murtad kini dipandang sebelah mata
Hukum Hudud menjadi gurauan semata
Oleh mereka yang gila kuasa
Walaupun ada antara mereka
Berpendidikan hingga ke Al Azhar sana

Lihatlah ngerinya tragedi Kosovo dan Bosnia
Tidak gentarkah pada bala?
Ulama diperlakukan sesuka hati mereka
Kononnya pengetahuan ulama sedikit sahaja
Mamak Bendahara ingin jadi ulama punya ketua
Habis dicantas mereka yang dikatanya derhaka

Berjuanglah wahai pejuang agama dan bangsa
Usahlah gentar akan ISA ataupun penjara
Ganjarannya hanya dari Allah jua
Janji Allah, Islam tetap menang di penghujungnya.
 

Allahuakbar!Allahuakbar!Allahuakbar!
 

Aliya Zulaikha
Ogos 1999