Tahap Pemikiran Pengikut UMNO

Di sini saya ingin menceritakan sedikit tentang tahap pemikiran pengikut UMNO 'totok' ilham dari pertemuan saya dengan seorang kenalan kami yang memang di dahinya ada cop UMNO. Ramai dari kawan-kawan UMNO 'totok' yang saya kenali (pengkagum Mahafiraun), mereka ini semua tahap pemikiran masing-masing tidak sampai pada peringkat penaakulan, sebab apa saya katakan demikian kerana saya dapati puak-puak yang bercop dahi dengan keris telanjang ini hanya melihat
perkara-perkara luaran sahaja. Contohnya semua mereka sangat berbangga, kagum dengan kemampuan Mahafiraun mendirikan KLIA yang dikatakan no. 3 'ranking' dunia, Formula One, Menara Berkembar Petronas, Stadium Bukit Jalil, Projek Elektrik Bakun dan segala mak nenek benda-benda yang gah-gah belaka. Mereka tak fikir untuk dapat yang gah itu duit membazir berbillion-billion ringgit yang habis digunakan hanya untuk mendapatkan nama yang gah itu sahaja. Buat apa pada nama walhal sebilangan besar nasib rakyat miskin belum terbela. Kalau orang boleh mencapai tahap pemikiran
penaakulan pasti mereka akan terfikir, membuat refleksi kendiri, kalaulah duit berbillion-billion ringgit yang habis untuk dapat nama yang gah sahaja itu digunakan untuk pendidikan alangkah bahagianya hidup ini. Mari kita lihat senario di bawah:

1. Pendidikan

· Kalau kita lihat sekarang, sekolah banyak yang 2 sesi, alangkah baiknya kalau duit berbillion itu diagihkan untuk menaikkan taraf pendidikan, dirikan lebih banyak sekolah supaya sekolah hanya jadi satu sesi sahaja, dengan cara ini kita akan dapat mantapkan kurikulum pendidikan kita. Pasarana sekolah juga perlu diperbaiki dan lengkapkan, bukan macam sekarang serba-serbi tidak cukup. Konon nak jadi 'world class' sekolah bestari, apa yang bestarinya kalau kelengkapan asas pun tidak sempurna? Kokok sahaja berderai-derai ekor bergelumang dengan tahi. Cuba tanya semua guru tentu mereka boleh tambah ' list ' kepincangan yang ada di sekolah berjela-jela akan jadinya.

· Buka peluang untuk biasiswa dengan lebih luas untuk yang layak, bukan macam sekarang hanya diberi pinjaman (itu pun hendak dimegah-megahkan kononnya perihatin), kalau perihatin - berilah biasiswa. Pinjaman hanya membebankan pelajar-pelajar dengan segala mak nenek hutang yang hendak dilunaskan ketika bekerja nanti. Zaman tak ada menara Perkembar Petronas, aku belajar dapat biasiswa. Zaman Litar Formula One la ni anak aku belajar kena pinjam duit qarun Daim.

· Dulu pelajaran percuma, sekarang pelajaran kena beli dari penswastaan pendidikan la ni macam cendawan tumbuh. Bayangkan, penswastaan akan menyebabkan hanya golongan yang kaya sahaja dapat memasukkan anak mereka ke dalam bidang profesional. Yang miskin bagaimana?. Sejarah akan berulang seperti zaman penjajah British dahulu iaitu anak-anak elit yang dapat jawatan yang baik-baik manakala anak-anak miskin akan 'end up' jadi peon, kerani atau cikgu lepasan maktab perguruan sahaja. Satu lagi implikasi akibat dari penswastaan pendidikan ialah lahirnya jurang perbedaan budaya antara pelajar yang belajar di pendidikan swasta dan kerajaan. Adakah kerajaan setakat ini mempunyai kesungguhan untuk memantau pendidikan swasta supaya menerapkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan di dalam kurikulum pendidikan mereka?. Maka apa yang berlaku sekarang ini pelajar-pelajar di pendidikan swasta kita lihat lebih mirip ke arah mengamalkan hidup moden cara mat salleh sekiranya tanpa pedoman dari ibu bapa dan penjaga mereka.

2. Petani, Nelayan, Penoreh Getah dan Masyarakat Melayu Kampung

· Kehidupan petani, nelayan, penoreh getah dan masyarakat kampung lainnya tidak banyak berubah. Mereka masih mengamalkan pertanian sara diri. Betapa ramai petani, nelayan, penoreh getah kita (tenaga kerja yang ramai) tapi kita masih import sayur mayur, ikan, daging, ayam, telur, kelapa, susu dan lain-lain lagi (hanya babi yang dieksport) sehinggakan harga yang sepatutnya murah menjadi mahal!. Tak boleh ke duit berbillion ringgit yang digunakan hanya untuk mendapatkan 'gah' itu diagihkan ke bidang pertanian, buat sesuatu untuk menaikkan taraf hidup mereka daripada sara diri kepada sistem komersial
bukan macam sekarang menolong bak melepaskan batuk di tangga sahaja membiarkan petani, nelayan bekerja dengan menggunakan tenaga empat kerat mereka sahaja turun temurun. Malah, sekarang ini Jeti Memunggah Hasil Tangkapan Nelayan pun hendak di swastakan. Lihat sahaja negeri Siam, bidang pertaniannya sungguh mengkagumkan. Limau, mempelam dan longan yang masam boleh dimaniskan, berasnya boleh diwangikan, sehinggakan duriannya pun boleh mengalahkan durian tempatan kita. Apa yang dibuat oleh jabatan pertanian kita?.

3. Peneroka Bandar

·Rumah-rumah kos rendah boleh didirikan dengan lebih banyak dari duit berbillion-billion itu buat mengikut keperluan sosial bukan macam rumah flat yang ada sekarang hanya ada satu bilik sahaja dan tidak mengikut 'standard quality' yang ditetapkan.

4. Kemudahan Asas

· Dengan duit berbillion-billion ringgit itu kerajaan sepatutnya membina kemudahan asas untuk rakyat dengan percuma, jalan raya boleh dibina malah boleh menaik tarafkan jalan raya tanpa perlu mengutip tol dan membebankan rakyat. Memantapkan perkhidmatan kesihatan tanpa perlu menswastakannya. Membina logi-logi air dan mencari punca sumber air dengan lebih produktif tanpa perlu menswastakannya. Begitu juga dengan rawatan kumbahan air tidak perlulah di Indah Waterkan malah
pengutipan dan buangan sisa pepejal juga tidak perlulah di Alam Florakan. Ini tidak, kerajaan sekarang menumpahkan semua duit untuk projek yang gah-gah sahaja sehingga menyebabkan kemudahan asas diperniagakan dengan rakyat jelata. Hendak tak hendak rakyat terpaksa membelinya!.

Sesungguhnya banyak lagi yang boleh dibuat oleh kerajaan untuk rakyat jelata sekiranya pembaziran tidak berlaku. Apa perlu pada nama kalau hakikatnya keperluan asas rakyat masih terabai, kerajaan tidak begitu menampakkan kesungguhan untuk membantu rakyat meningkatkan keperluan mereka. Pemimpin yang dipilih yang telah membentuk kerajaan telah memenuhi keperluan mereka sendiri sehingga kalau dilihat dari hieraki Maslow mereka yang berkenaan telah sampai ke puncak hieraki oleh itu mereka hanya memenuhkan keperluan untuk bermegah, bergaya, mewah hanya untuk mendapat kepuasan untuk diri, memenuhi tuntutan nafsu mereka sahaja (membesarkan nafsu sahaja) tanpa memandang keperluan yang di bawah lagi yang diimpikan oleh golongan rakyat jelata. Contohnya pembinaan litar lumba Formula One yang berbillion-billion ringgit itu dibina hanya untuk kebanggaan mereka walhal kegunaannya hanya 4 hari saja untuk tahun ini, entah bila lagi hendak digunakan dan
banyak lagilah gajah-gajah putih yang tersegam indah di Lembah Kelang ini. Ada orang yang sanggup membeli nombor lama sebuah motorsikal untuk diberikan kepada kereta baru isteri kesayangan dengan nilai sebuah 'virago'. Golongan ini tidak amanah dalam memegang tanggungjawab mereka sebagai pemimpin!.

Dalam dunia moden sekarang situasi yang sama berlaku seperti zaman 'Tok Selampit' penglipur lara masyarakat Melayu dahulu kala. Kalau dulu masyarakat Melayu dilipurkan dengan cerita-cerita kebesaran, kehebatan, kemewahan, kedaulatan, kecantikan, kerupawanan golongan bangsawan sehingga tidak ada tolok bandingnya di sarwajagat ini, tapi di zaman 'Tok Selampit' moden ini kita disogokkan dengan khabar yang indah-indah yang terbesar, tercanggih, terhebat, tertinggi, terboleh,
ter..ter.. dan ter lagi semata-mata untuk menghiburkan, melenakan, mengabuikan, mendodoikan, mengasyikkan, membutakan, menutup pintu hati dan segala jenis me.. lagi rakyat jelata dari bangkit melihat kesengsaraan sebenar yang ditanggung oleh mereka dan sanggup menerima dengan bangganya hak sendiri yang disalah milikkan oleh para pemimpin yang tidak beramanah itu.

Inilah di sebalik hakikat sebenar segala projek mega yang tersangatlah gah sampai kembang lubang hidung mereka (orang UMNO) tapi mereka tidak nampak hakikat sebenar ataupun mereka pura-pura tidak mahu membuka hati mereka untuk melihat realiti yang ada. Amatlah malang nasib golongan yang telah dijerebukan mata dan akal fikiran mereka semata-mata untuk menempa nama di persada dunia sahaja!.

Salam Reformasi

Zamzam