PAK LAH DEDAH KELEMAHAN UMNO/BN

Tiba tiba kita dikejutkan dengan kenyataan Pak Lah yang berkata bahawa jentera pilihanraya barisan belum cukup bersedia untuk menghadapi pilihanraya. Mengikut Pak Lah, jentera pilihanraya BN kena ‘fine tuning’ sikit. Hai, mengapa tiba tiba Pak Lah berkata begitu? Bukankah bos Pak Lah dah menjaja ke sana sini bahawa BN dan UMNO dah bersedia untuk menghadapi pilihanraya? Seluruh negara dengar Mahathir berkata macam tu. Ni, Pak Lah pandai pandai pula buat kenyataan yang ternyata bercanggah dengan apa yang bos dia dok laung laungkan atau sengaja bosnya suruh Pak Lah katakan?

Tapi yang bestnya, Pak Lah tanpa dia sedar telah mendedahkan kelemahan UMNO/BN. Adab dalam peperangan ialah  mana boleh beritahu kelemahan pada pihak lawan. Kalau tanya Mahathir betulke apa yang Pak Lah katakan, sudah tentu dia akan jawab, ‘saya tak kata,  itu Pak Lah yang kata’! Kenyataan Pak Lah memang jelas menunjukkan UMNO yang menerajui kerajaan BN sedang berada dalam ketakutan. Ketakutan nak kalah! Mana tak takut, bila BSKL jatuh, undi pengundi pengundi Cina tiba tiba beralih ke barisan alternatif dan bila kerajaan umum nak gabung bank bank, lagi undi pengundi Cina lari! Puaslah Mahathir nak pikat, nak pancing undi pengundi Cina.

Nak pancing undi orang orang Cina, Mahathir bersusah payah pergi ke Jinjang, satu kawasan yang penduduknya Cina. Puaslah Mahathir bermain silap mata menghentam pelajar pelajar Melayu semasa perhimpunan MCA dulu sambil berkata orang orang Cina pragmatik tak macam orang Melayu yang terlalu emosional! Puaslah Mahathir berlakun semasa perhimpunan Gerakan dengan menghentam pula pensyarah pensyarah Melayu. Kononnya, nak jadi hero di depan orang orang Cina, hentam Melayu. Tapi tiba tiba strategi Mahathir tak menjadi disebabkan kejatuhan harga saham di BSKL dan isu penggabungan bank bank tempatan. Orang orang Cina dah mula fed up dengan polisi polisi Mahathir dan Daim.

Apa lagi Mahathir nak buat nak pancing undi orang orang Cina? Nak pergi ke negeri Cina pula dan diantara perkara perkara yang akan dibangkitkan nanti ialah beberapa universiti di negeri tersebut akan diiktiraf oleh kerajaan Malaysia. Untuk menyejukkan  hati orang orang Cina yang telah marah dengan isu penggabungan bank tempatan, Mahathir akan meluluskan lesen untuk sebuah bank dari negeri Cina untuk beroperasi di Malaysia! Apabila bank dari negeri Cina ini beroperasi di sini kelak, maka berduyun duyunlah orang orang Cina mengeluarkan duit simpanan mereka dari bank bank tempatan dan dipindahkan ke bank tersebut!

Mahathir dan Daim bukan kisah lagi. Mereka lebih mementingkan langkah langkah jangka pendek untuk ‘survival’ mereka. Pusing sana pusing sini asik kena hentam. Mana tak kena hentam, apabila dah tersepit, macam macam langkah tak senonoh yang diambil. Mahu tak mahu, Pak Lah terpaksa juga katakan jentera pilihanraya BN belum bersedia dan untuk menyedapkan hati Mahathir dialaskan katanya dengan berkata, belum siap sedia untuk menang besar seperti yang Mahathir katakan!

Kalau BSKL masih tenat dan setelah balik dari negeri Cina, sentimen rakyat berbangsa Cina tak juga memihak pada BN walaupun puas sudah Mahathir berlakun, apa pula alasan nak diberi oleh Pak Lah? Sudah tentu, Mahathir tak akan membuat kenyataan macam ini kerana rakyat dah dengar beberapa kali dia sendiri berkata dengan KONFIDENnya, bahawa UMNO dan BN dan bersedia! Kalau Mahathir konfiden, dah lama dia bubarkan parlimen dan istiharkan pilihanraya! Siapa kata Mahathir KONFIDEN BN/UMNO boleh menang?

Pak Lah, Pak Lah penat dikudanya oleh Mahathir. Tersilap cakap, kena hentam. Tak buat pun kena hentam juga. Lama mana Pak Lah yang pernah buat bypass ni boleh tahan dengan karenah Mahathir ni? Tu pasal Mahathir dah kata dulu, timbalan saya mesti ada stamina!! Sekarang Pak Lah baru sedar betapa susahnya nak bekerja dengan orang yang dah nyanyuk dan desperate  macam Mahathir ni. Tiga timbalannya dah tumbang. Kalau  nak tumbangkan yang keempat, lagi mudah!!!

PEMERHATI POLITIK