APA NAK JADI DENGAN PETRONAS?

Rakyat Malaysia memang bangga apabila syarikat minyak negara, Petronas ditubuhkan dulu. Rakyat Malaysia juga bangga apabila mendengar laporan laporan bahawa Petronas sudah  mengembangkan sayapnya ke negara negara lain. Petronas sudah menjadi satu syarikat multinasional yang mampu bersaing dengan syarikat syarikat gergasi yang lain yang sudah lama tercebur dalam industri minyak khususnya carigali!

Maka terdengarlah berita berita bahawa Petronas sedang giat menjalankan aktiviti carigali minyak di negara negara seperti Vietnam, Sudan, Iran dan Uzbeskistan. Maka tidak hairanlah apabila kita mendengar anak anak Malaysia dihantar bertugas ke negara negara tersebut. Syarikat Malaysia dengan dianggotai oleh anak anak Malaysia boleh bersaing dengan syarikat syarikat gergasi dari negara negara maju!

Tapi sekarang kita dikejutkan dengan berita berita bahawa Petronas tidak lagi menjalankan aktiviti utamanya . Petronas kini diberi tanggung jawab yang di luar bidang kepakarannya. Membail out syarikat perkapalan dan yang terbaru mengambil alih Hicom! Dana dana hasil petroleum yang dipungut oleh Petronas bertahun tahun yang sebelum ini diurus dengan baik dan cekap, kini habis digunakan untuk menyelamat syarikat syarikat yang sedang menghadapi masalah. Salah satu syarikat yang terlibat ialah kepunyaan anak Dr Mahathir yang menghadapi masalah kerana tidak diurus dengan baik!

Itu yang kita tahu. Mungkin banyak lagi dana Petronas yang telah digunakan untuk tujuan tujuan lain yang membazir. Ini hanya diketahui jika kita semak buku akaun Petronas tapi bolehkah ini dilakukan apabila Petronas di letak directly di bawah Jabatan Perdana Menteri? Apa yang kita dengar ialah Petronas disuruh mengpam minyak lebih dari hadnya walaupun Petronas pada dasarnya, tidak setuju dengan arahan tersebut. Apa tujuan arahan ini yang menyuruh Petronas mengpam minyak lebih dari hadnya? Hasilnya nak digunakan untuk apa? Kalau macam ini, berapa lama rizab minyak kita boleh bertahan?

Kita masih ingat lagi apa yang terjadi dengan  Sime Bank dulu. Syarikat induknya, Sime Darby terpaksa melepaskan bank tersebut kerana kerugian besar kerana Sime Darby yang lebih terkenal dengan perniagaan perladangan dan trading tidak mempunyai kepakaran dalam aktiviti perbankan. Sebenarnya, Sime Darby dipaksa mengambilalih UMBC atas arahan siapa??

Inilah yang kita bimbangkan sekarang. Jika orang orang politik masuk campur dalam pengurusan syarikat syarikat tertentu, silap silap langkah syarikat tersebut boleh hancur lebur! Sekarang,  adakah kita mendengar lagi berita berita mengenai aktiviti aktiviti pelaburan Petronas di luar negara?? Apa nak jadi dengan Petronas??

ANAK WATAN