TUGAS BERAT KSN

Boleh dikatakan setiap siaran berita di TV3 hari ini ( 15-08-1999 ) melapurkan tentang ulasan berkenaan pecahnya rahsia yang ada di dalam dokumen kerajaan yang dikatakan oleh Saudara Mohamad Ezam. Khasnya dokumen kerajaan yang dibawa keluar oleh Pegawai Kerajaan dan diberikan kepada orang lain – pengikut KeADILan. Di dalam ulasan itu, Rafidah Aziz menyeru kepada kepada KSN, Halim Ali untuk meneliti tentang dakwaan Ezam itu. Tahniah Rafidah kerana menyerahkan hal ini kepada Ketua Setiausaha Negara. Di harap KSN dapat menjaga imej semua pegawai Kerajaan Malaysia.

Sebagai peringatan, sekarang wujud dua keadaan berkenaan dengan kes membawa dokumen kerajaan keluar dari tempat yang sepatutnya. Keadaan pertama; sebelum pemecatan DSAI dan kedua; selepas pemecatan DSAI. Keadaan pertama berlaku adalah dengan ‘keizinan’ UMNO dan keadaan kedua pula tanpa ‘keizinan’ UMNO. Namun, kedua-dua keadaan sebenarnya melibatkan kakitangan kerajaan Malaysia. Mungkin ia Pegawai Tinggi atau Pencari Fail adalah tidak diketahui. Walau bagaimana pun, kedua-dua keadaan itu sekaligus menafikan kenyataan Mahathir bahawa DSAI kerja mencuri dokumen untuk dijadikan bahan mengugut.

Pegawai dalam kes pertama agaknya ‘orang’ UMNO atau orang yang sudah kena ‘black-mail’ oleh UMNO. Manakala pegawai dalam kes kedua pula ialah bukan ‘orang’ UMNO dan belum kena ‘black-mail’ oleh mana-mana pihak. Sebab itulah UMNO / BN amat gusar dengan pegawai di dalam kes kedua sehinggakan sudah kedengaran ada lapuran polis sudah dibuat dan Rafidah pun sudah sebut tentang OSA-Akta Rahsia Rasmi.

Sebagai ingatan kepada KSN, dia wajib mengambil kira kedua-dua keadaan pertama dan keadaan kedua seperti dinyatakan di atas. Mungkin kes kedua tidak memberi banyak masalah kepada KSN, tetapi keadaan pertama itulah yang memeningkan kepala dan amat menyusahkan KSN. Kaedaan kedua senang bagi KSN ambil tindakan jika terbukti benar ada pegawainya membawa keluar dokumen kerajaan. Senang dalam erti kata titik bengit dan tipu helah politik UMNO tidak terlibat. Tetapi di dalam kes yang pertama, ianya melibatkan kepentingan Mahathir dan kroninya. Inilah yang amat payah untuk KSN, tetapi lainlah kalau KSN pun ingin menjadi seperti Mohtar Abdullah, Rahim Noor , Mohd Said Awang dan beberapa orang lain lagi itu.

Di dalam kes yang pertama, setakat ini sudah terbukti bahawa Ghani Patail  dan Mohtar Abdullah setara terang ada di dalam dokumen kerajaan yang telah didedahkan oleh pihak pembangkang. Oleh itu, sebelum KSN mengambil tindakan kepada pegawai yang tidak tahu entah dimana lagi itu, eloklah Mohtar Abdullah dan Ghani Patail itu disiasat dahulu, sepatutnya mereka berdua ini tidak boleh lambat berbanding pegawai di dalam kes keadaan kedua. Mohtar Abdullah dan Ghani Patail adalah pegawai kerajaan yang terlibat terus dengan dokumen yang dapat ketangan DSAI. Kalau pesara kerajaan juga tertakluk dibawah bidang kuasa yang ada pada KSN, maka dia juga boleh melakukan siasatan berkenaan ke atas Mohd Said Awang yang membawa dokumen rahsia di Jabatan SB yang disampaikan kepada DSAI. Kalau Rahim Noor juga terlibat dengan memberikan dokumen kepada DSAI, sepatutnya dia juga kena siasat sama.

Sekarang imej pegawai kerajaan berada ditangan KSN. Dialah orang yang paling sesuai untuk membersihkan imej pegawai kerajaan yang sudah lama dirosakkan oleh tangan-tangan jahat dari UMNO / BN. Memang pegawai kerajaan tahu dan faham berkenaan OSA. Tetapi dalam masa yang sama pegawai kerajaan juga tahu kezaliman dan kejahatan. Pegawai kerajaan memang tahu penyelewengan yang ada di jabatan kerajaan adalah disebabkan UMNO yang menyebabkan mereka terpaksa ikut menyeleweng. Maka sekarang adalah syarat jelas kepada UMNO bahawa pegawai kerajaan sudah tidak mampu lagi melindungi dan menyembunyikan kejahatan ‘mereka’ akibat dari ‘tangan-tangan ghaib’ UMNO.

Apabila Rafidah menyeru kepada KSN, bermaksud ianya amat serius. InsyaALLAH KSN akan menjalankan tugasnya dengan baik. Dia sebagai KSN sudah tentu mampu menjalankan tugasnya dengan baik. Baik yang dimaksudkan disini ialah adil dan saksama selaku ketua kepada semua kakitangan kerajaan. Dia mesti adil dan saksama kepada pegawai di dalam keadaan pertama dan kepada pegawai di dalam keadaan kedua walau ianya melibatkan kepentingan Perdana Menteri dan Menteri-Menteri lain. Kalau tidak, rosaklah imej kakitangan awam.

Sekian

muramozi