OSA: Teruskan Ezam!
Oleh: Fathi Aris Omar [e-mel: farisa@netscape.net]

Tidak disangka-sangka, kenyataan Mohd Ezam Mohd Nor, Ketua Pemuda KeADILan, dalam ceramahnya tentang “berkotak-kotak dokumen” di luar negara itu membabitkan isu Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan edisi terkini cadangan “Akta Pengkhianat Negara” dari Ibrahim Ali. Tahniah, Ezam, isu ini berjaya digerakkan selama beberapa hari ini. Dan... isu ini menjadikan satu lagi bukti kukuh bahawa Umno dan pemimpin kerajaan MEMPERALATKAN undang-undang untuk kepentingan politik peribadi mereka, bukannya untuk menjaga kesejahteraan rakyat, jauh sekali untuk menolong Melayu!

Sebenarnya tidaklah mudah untuk mencari bukti bahawa OSA digunakan untuk menutup penyelewengan, walaupun saya tahu dari PRM dan NGO (dalam isu setinggan) bahawa ada beberapa dokumen kerajaan tidak dibenarkan dibawa ke mahkamah semata-mata menggunakan alasan “akta rahsia rasmi.” Ya, dalam kes DS Anwar baru-baru ini pun, isu yang sama berbangkit. Ertinya, kita rakyat biasa boleh dinafikan HAK untuk mendapatkan KEADILAN (yang kita dapat hanyalah keADILan) semata-mata sesuatu dokumen yang penting itu tidak boleh didedahkan di mahkamah, sedangkan tatacara di mahkamah itu mengizinkan juga perbicaraan “in camera” (tertutup).

Walaupun insiden-insiden seperti yang didedah dalam kes mahkamah kendalian PRM atau NGO (isu setinggan) itu sudah kuat tetapi publisitinya tidak meluas. Jadi, tidaklah ramai orang mengetahuinya dan tidaklah ramai orang yang mengambil berat hal ini. Tetapi dengan wujudnya isu OSA yang terkini -- ekoran laporan polis Anwar tentang kes Rafidah itu -- rakyat dihadapkan dengan satu lagi episod penyelewengan kerajaan.

Ketika OSA dipinda pada pertengahan 1980-an lalu, banyak pihak sudah menyatakan kebimbangan ini yakni akta ini bakal diperalatkan untuk menutup penyelewengan. Kini, jelas. Pihak kerajaan bukannya cuba menjelaskan sikapnya tidak mengambil tindakan kepada Rafidah atau melambat-lambatkan tindakannya, tetapi menyalahkan Anwar, seorang bekas Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan. Samalah statusnya --beliaulah yang membuat laporan polis tentang buku 50 Dalil tetapi polis menyiasat beliau sedangkan pengarangnya belum lagi diadakan perbicaraan lanjut sehinggalah Mei, 2000! Ah,... politik Umno ini memang busuk!

Tetapi, pada saat ini saya sedang membaca buku tulisan Dr Mahathir pada tahun 1974 “Menghadapi Cabaran” (terjemahannya, The Challenge) bab Rasuah, nyata sekali pengarangnya bukanlah seorang yang serius anti-rasuah. Ya, saya bandingkan karya Mahathir itu dengan karya-karya Anwar “The Asian Renaissance” dan Prof Syed Hussein Alatas “Corruption and the Destiny of Asia”.

Mahathir menulis agak panjang tetapi berbelit-belit tentang isu rasuah, menjelaskan tentang perubahan-perubahan nilai dan “semacam memberi alasan” betapa sukarnya hendak menghapuskan rasuah. Pendek kata, beliau tidak pernah serius, tidak ada political will (tekad politik) untuk menghapuskan rasuah. Jadi, tidaklah pelik jika sekarang beliau lebih sibuk mengarahkan pihak berwajib menyiasat “bagaimana dokumen itu terbocor” daripada menjelaskan dakwaan-dakwaan Anwar dalam laporan polis tersebut. Wujud semacam kerasukan di kalangan menteri-menteri, khasnya dari Umno, untuk menyiasat “dokumen rasmi kerajaan” padahal sebenarnya penyelewengan pemimpin!

Karya Prof Syed Hussein itu menjelaskan juga betapa rumitnya untuk menangani isu rasuah, salah guna kuasa, dan penyelewengan tetapi pengarangnya DENGAN JELAS menghuraikan kesan-kesan buruk korupsi dan DENGAN PENUH KEKUATAN mendesak agar rasuah itu terus diperangi.

Samalah dengan desakan dari Anwar sendiri dalam karyanya itu. Nota: Perlu diingat, buku ini diterbitkan pada tahun 1996 lagi (beliau masih dalam kerajaan), beliau pernah mendedahkan penyelewengan Perwaja tahun itu juga, pernah mengetatkan Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan kini menyeru reformasi ke arah mendedahkan penyelewengan peringkat tertinggi. Tidaklah pelik kerana beliau pernah menjawat Ketua bagi jawatankuasa kabinet dalam hal ini.

Dalam The Asian Renaissance, Anwar menulis: “Benar, masalah korupsi (rasuah) sudah bersama manusia sejak zaman berzaman, dan ia tentunya sukar diatasi dalam masa yang singkat. Tetapi itu semua bukanlah alasan untuk tidak memeranginya (rasuah) habis-habisan. Isu ini tentunya tanggungjawab moral, tetapi untuk tindakan yang berkesan memerangi korupsi haruslah melampaui tanggungjawab moral semata-mata, termasuklah reformasi perundangan dan sosial yang menyeluruh.” (hal. 91).

Malah, Anwar dalam buku itu menulis lagi: “mereka yang terbabit dalam lingkungan yang korup itu mestilah didakwa dalam sistem pengadilan yang penuh wibawa dan dengan penuh keberanian....” (hal. 92).

Jadi, tunggu apa lagi Ezam? Teruskan usaha murni ini. Dalam perjuangan, keberanian mesti ada. Dan keberanian anda akan diteladani oleh kami semua. Teruskan Ezam, majulah tanpa gentar. Lagi ganas mereka bertindak, lagi jelaslah “keadilan” mereka.