KENYATAAN AKHBAR SDR. MOHAMAD EZAM

Pada hari ini, 19 Ogos 1999, saya telah dikehendaki oleh pihak polis dibawah Seksyen 111, Kanun Acara Jenayah untuk menghadirkan diri saya di Ibu Pejabat Polis Jalan Hang Tuah Kuala Lumpur bagi tujuan siasatan mengenai Seksyen 8(1)(iii) Akta Rahsia Rasmi, 1972. Sebagai rakyat yang bertanggongjawab dan berpegang teguh kepada prinsip keluhuran undang-undang seperti yang termaktub didalam perlembagaan negara ini, saya telah menghadirkan diri saya dan bekerjasama dengan pihak Polis didalam siasatan dijalankan. Saya difahamkan bahawa siasatan dijalankan diatas sebuah laporan polis yang dibuat pada 15 Ogos 1999, oleh Encik Zulkifli Mohd Alwi, Penolong Setiausaha Pemuda Barisan Nasional, parti yang memerintah kerajaan Malaysia hari ini terhadap saya diatas kenyataan saya yang didakwa "menggugat keselamatan rakyat dan kedaulatan negara".

Pada hari ini juga saya telah membuat satu laporan Polis terhadap Pihak Polis Diraja Malaysia diatas kegagalan mereka melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka yang jelas bertentangan dengan peruntukan undang-undang khusus Seksyen 3 (3) Akta Polis 1967 dan Seksyen 108 Kanun Acara Jenayah. Laporan polis yang sama telah dibuat terhadap Peguam Negara Malaysia diatas kegagalan melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai yang diperuntukkan didalam Artikel 145 (3) Perlembagaan Persekutuan dan/atau Seksyen 376 (1) Kanun Acara Jenayah. Laporan Polis ini dibuat sehubungan dengan Laporan Polis saya No RPT 12581/99 di Balai Polis Dang Wangi pada 8hb Mei 1999 terhadap Peguam Negara, Abdul Ghani Patail dan seorang Menteri Kabinet.

Setelah lebih 3 bulan aduan dibuat, tidak ada sebarang kenyataan yang telah diambil daripada saya berhubung dengan aduan tersebut dan saya mempunyai alasan yang menasabah untuk mempercayai bahawa sehingga setakat ini tiada sebarang penyiasatan dan/atau tindakan yang diambil terhadap laporan polis tersebut. Ini memberi gambaran terhadap ketidakadilan yang berlaku didalam sistem perundangan negara ini.

Notis 111 Kanun Acara Jenayah yang diserahkan terhadap saya dalam tempoh 3 hari selepas aduan dibuat oleh seorang pemimpin parti yang memerintah berbanding jangkamasa 3 bulan aduan yang dibuat oleh saya sebagai seorang rakyat biasa terhadap pimpinan kerajaan dan parti yang memerintah yang sehingga hari ini tidak menunjukkan sebarang tindakan susulan, jelas menunjukkan kepincangan sistem keadilan dinegara ini.

Laporan polis saya dibuat berasaskan kepada asas yang kukuh terhadap salahlaku rasuah seorang Menteri dan diperkukuhkan dengan laporan polis dibuat oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim berhubung dengan hal yang sama pada 9hb. Julai 1999, yang melampirkan bukti kukuh terhadap kes tersebut. Sebaliknya laporan Polis terhadap saya dibuat dengan andaian yang lemah dan mencurigakan dengan cuba mengaitkan pendedahan saya terhadap simpanan dokumen berhubung dengan salahlaku kuasa dan rasuah pemimpin kerajaan dengan isu keselamatan negara. Laporan polis mereka jelas merupakan mainan politik murahan golongan yang nazak kuasa.

Pemuda KeADILan mendesak Pihak Polis benar-benar jujur dalam menjalankan amanah rakyat untuk mempertahankan keadilan di negara ini dan mereka semestinya membuktikan bahawa siasatan menyeluruh dibuat terhadap semua laporan polis tanpa mengira kepentingan politik golongan tertentu.
 

            tt.
Mohamad Ezam Mohd Nor
Ketua Pemuda
Parti KeADILan Nasional