KULI PARADOK

Mungkin tidak ketelaluan jika dikatakan Tengku Razaleigh Hamzah sekarang merupakan seorang yang telah lupa diri dan kini hanya mementingkan dirinya sendiri sahaja. Dahulunya, beliau merupakan seorang pemimpin yang berkeliber serta pandai bermain lidah dengan mengeluarkan kata-kata yang enak didengar disusuli dengan rentak irama yang mempersonakan, namun kini ternyata gelombang irama itu semuanya adalah mainan politik kotornya sahaja.

Kehampaan Tengku Razaleigh begitu terserlah sekali apabila angan-angannya untuk menjadi Presiden UMNO suatu masa dahulu menemui kegagalan. Kehampaan ini telah menyebabkan beliau bertindak di luar batasan sehingga sanggup mengaibkan UMNO dengan mengali sedalam-dalamnya mencari kelemahan dan akhirnya mengatakan UMNO adalah sebuah pertubuhan haram kerana UMNO tidak didaftarkan.

Tindakan yang sebegitu kotor menunjukkan bahawa beliau adalah seorang yang sanggup melakukan apa sahaja asalkan cita-cita dan matlamatnya tercapai. Beliau sanggup menjilat muntahnya sendiri semula bagi memenuhi hasrat cita-citanya. Walaupun suatu ketika dahulu beliau merupakan seorang yang lantang mencaci dan memaki hamun ahli UMNO. Dan yang lebih memalukan lagi, Tengku Razaleigh sanggup membuka segala pekong nanah yang ada di dalam UMNO.

Bukankah setelah begitu lama di dalam UMNO semenjak zaman muda lagi sehingga beliau pernah berada di tahap kedudukan yang paling tinggi yaitu sebagai Timbalan dan ini menjelaskan betapa beliau mengetahui baik buruk dan cacat cela segala apa yang ada di dalam UMNO. Dan segala kenyataan beliau terhadap UMNO sedikit sebanyak pasti ada kebenarannya. Beliau juga merupakan salah seorang pemimpin yang sekurang-kurangnya berperanan dalam membentuk acuan kepala otak pemikiran ahli UMNO. Ini dapat dibuktikan dengan jelas apabila ramai dikalangan ahli UMNO yang mengikuti beliau berjuang melalui parti Semangat 46. Kini parti itu telah kembali kepangkuan UMNO semula kononnya mereka telah menginsafi kesalahan mereka. Tetapi sebab yang sebenarnya, mereka tidak boleh cari makan melalui Semangat 46!
 

Oleh itu, dengan berbesar hatinya kita ingin mengenangkan kembali laungan-laungan hikmah yang kini telah menjadi misteri bukan history kerana banyak kepelikan yang berlaku tentang dirinya sendiri. Mari kita hayati sebahagian kata-kata Tengku Razaleigh dahulu yang pernah diucapkannya ketika beliau merasmikan Ibu Pejabat Semangat 46 pada 30hb Ogos 1993. Antara yang menarik dan boleh kita jadikan sebagai renungan bersama adalah :
 

“Ingatlah, kita (Semangat 46) juga terpaksa memikul tanggungjawab mencelikkan seluruh masyarakat Melayu itu sendiri. Mereka perlu diberitahu bahawa mereka sengaja dibiarkan miskin kerana mereka orang Melayu. Mereka dibiarkan menderita kerana mereka orang Melayu. Lebih banyak rumah-rumah mereka dirobohkan kerana mereka orang Melayu. Lebih banyak tanah-tanah mereka akan dirampas kerana mereka orang Melayu. Anak-anak mereka dibiarkan bodoh kerana mereka orang Melayu. Bagi mereka yang berkuasa (Mahathir), orang Melayu mesti dibiarkan ketinggalan serba-serbi, kerana dengan berbuat demikian, selama-lamanya orang Melayu boleh diperbodohkan dan dibeli dengan harga yang murah. Mereka (Mahathir) turut menganggap, bangsa Melayu (UMNO) adalah sebagai bangsa yang cepat lupa, bangsa yang mudah dibeli dan bangsa yang paling mudah bertolak-ansur. Orang Melayu itu adalah bangsa yang lemah lembut dan terlalu tinggi sopan santunnya. Ada yang menganggap sifat ini sebagai satu kelemahan yang boleh diambil kesempatan. Sebab itulah apabila parti itu menyeleweng dari perjuangan UMNO asal, dengan membawa masuk ramai orang-orang bukan Melayu, majoriti orang Melayu (UMNO) hanya mengangguk tanda setuju. Mereka (Mahathir) tahu orang Melayu (UMNO) akan mengaminkan apa sahaja yang orang berkuasa lakukan. Mereka (Mahathir) tahu di kalangan orang Melayu sebahagian besar dari mereka masih berjiwa hamba yang sanggup memperhambakan diri mereka, termasuk kepada orang yang mereka sendiri pilih. Bagi mereka, rakyatlah yang mesti tunduk kepada wakil rakyat, bukannya wakil rakyat mesti tunduk kepada rakyatnya.

Inilah tanggungjawab kita (Semangat 46) untuk mendidik anak bangsa kita. Kita mesti berusaha menjadikan orang Melayu sebagai bangsa yang tegas dan tidak mudah menggadai maruah dan martabatnya.”

Ucapan itu jelas menunjukkan rasa tidak puas hatinya Tengku Razaleigh terhadap pemerintahan yang ada pada ketika itu. Beliau merasa bimbang suatu masa nanti bangsa Melayu akan diperbodohkan oleh pemimpin tersebut. Kini perkara yang dinyatakannya itu telah berlaku, orang Melayu lupa mereka sengaja dibiarkan miskin contohnya majoriti orang Melayu tinggal di rumah kos rendah atau setinggan. Dalam akhbar harian kerap keluar isu ini, apakah peranan orang Melayu yang tidak terlibat, mereka sekadar simpati sebab rumah mereka sendiri tidak kena. Yang akan menjadi mangsa orang Melayu, tak kira samada Melayu itu Pas atau UMNO, mereka tetap orang Melayu.

 

 Orang Melayu dibiarkan menderita contohnya ramai orang Melayu masih mengharapkan bantuan kerajaan dan pengharapan mereka dibiarkan begitu sahaja tanpa sebarang bantuan. Keluhan hati mereka hanya kedengaran di dalam hati mereka sahaja. Kalau dahulu orang Melayu merupakan tuan-tuan belaka tetapi kini mereka merempat dan mengemis bantuan dari bangsa lain untuk mendapatkan perkerjaan. Rumah-rumah mereka dirobohkan seperti kes yang terjadi di Shah Alam. Penduduk disembur dengan air kimia, cuba anda bayangkan jika anda berada ditempat mereka? 

 Tanah-tanah rezab Melayu yang kebanyakannya datar dan subur, kini tanah rezeb Melayu dirampas dan sebagai gantinya diberinya tanah-tanah dilereng-lereng bukit yang tidak akan mendatangkan hasil. Orang Melayu sendiripun tidak tahu yang mana satu rezab Melayu dan berapa banyak lagi ada, siapa yang hendak ambil peduli? Tahukah anda tanah 480 hektar yang Mahathir nak buat Wonderlandnya itu atas tanah apa?

 

 Anak-anak orang Melayu dibiarkan bodoh, buktinya dalam kenyataan Mahathir baru-baru ini yang menjadi tajuk utama berita bagi akhbar Sin Chew Jit Poh kemudian diterbitkan oleh akhbar Singapura The Straits Times dan The New Paper, kata beliau “Apa guna kita bagi 80% kota Melayu untuk masuk universiti, sebab belum tentu mereka akan lulus, mereka lebih berminat dengan politik daripada belajar, mereka lebih menyibukkan diri mereka menegur pemimpin, yang mereka minat hanyalah agama, berdemonstrasi dan politik. Mereka hanya tahu mengajar Perdana Menteri bagaimana nak menguruskan negara.” Kenyataan beliau ini tidak menjadi tajuk utama akhbar bahasa Malaysia sebab perkara ini sensitif, Mahathir hina majoriti pelajar bangsa Melayu. Najib sendiri kata pembabitan pelajar yang berdemonstrasi hanya segelintir, maknanya majoriti terpaksa menerima kata-kata Mahathir yaitu pelajar Melayu bodoh.

 

 Pemimpin ini bersangkaan bahawa semua orang Melayu ini boleh dibeli dengan harga yang murah. Betuuullllllllllll !!! untuk orang Melayu yang berada di dalam UMNO, golongan Melayu UMNO ini akan mengaminkan apa sahajakata orang yang berkuasa. Golongan orang Melayu jenis inilah yang Tengku Razaleigh masih belum kenal dan jika beliau sudah kenal pastinya beliau tidak akan membiarkan diri beliau ditipu bagi kali yang kedua oleh golongan Melayu bodoh ini. Lihatlah betapa angkuhnya kata-kata Ketua Pemuda UMNO “pantang anak Melayu dicabar, langkah mayat kami dulu sebelum menghina pemimpin kami” Bukankah ini menunjukkan betapa bodohnya Ketua Pemuda tersebut, sehingga sudah diperbodohpun masih membela pemimpin karutnya. Melayu jenis inilah yang Mahathir suka!!!

Oleh Saviour