Mahathir akan khianati penyokong UMNO apabila sampai masanya


Assalamualaikum

Pada hari ini 19 Ogos saya sempat membaca majalah TIMES keluaran 23 Ogos 1999  dengan Tajuk utama “The most influential Asians of the 20th. Century.”

Ia mengambarkan pengaruh pemimpin-pemimpin Asia bukan saja dalam pemerintahan tetapi juga pengaruh mereka dalam sesuatu masyarakat, sumbangan mereka kepada negara mereka, kepada nilai kemanusiaan dan keamananan.

Sebagai rakyat Malaysia, saya tercari-cari akan nama pemimpin Malaysia yang mungkin ada  memberi sumbangan yang diiktiraf, tetapi ternyata tiada. Mungkinkah nama pemimpin yang banyak memberi pengaruh kepada masyarakat Malaysia dan juga negara luar terutamanya negara Islam masih dipenjara.

Akhirnya saya menjumpai nama Suharto yang dimasukkan dalam kategori “Iron first that broke the land.” Nama-nama lain yang disertakan dengan nama beliau termasuk Ferdinand Marcos. Apakah mungkin nama seorang Malaysia akan dimasukkan dalam senarai ini selepas 'diktator Malaysia' jatuh? Inilah yang menghantui Dr. Mahathir sehingga beliau keberatan melepaskan jawatannya. Keangkuhan, ketamakan, kerakusan serta kebongkakan beliaulah yang meranapkan ekonomi, sistem politik, keamanan, kestabilan dan kemakmuran negara.

Apakah beliau mencintai keamanan?
Apakah beliau mencintai keadilan? Apakah beliau mencintai kebenaran?
Apakah beliau mencintai Malaysia?
Apakah beliau mencintai keharmonian?
Yang paling penting, adakah beliau mencintai Allah dan RasulNya??

Adakah pasukan polis akan membelasah penunjuk perasaaan jika tiada kebenaran dari pihak tertinggi? Siapakah yang mengungkit-ungkit peristiwa 13 Mei 1969 setelah rakyat melupakannya serta bersatu-padu dalam membangunkan negara.

Adakah adil menghukum seseorang itu berdasarkan tuduhan yang tertera dalam buku dan diceritakan oleh seseorang yang dimaklumkan mempunyai IQ rendah? Adakah beliau beliau berlaku adil jika perjalanan mahkamah perlu menurut hasrat serta kepentingan beliau?

Apakah Pemerintah pencinta kebenaran jika lebam di mata DSAI dituduh akibat perbuatan sendiri dan beliau masih tidak memohon maaf di atas keterlanjuran beliau. Apakah menyukai kebenaran jika senarai nama yang dikatakan penerima projek besar diedit sebegitu rupa dan jauh berbeza dari yang di paparkan sewaktu perhimpunan UMNO 1998.

Apakah beliau pencinta keharmonian dengan menakut-nakutkan pegawai kerajaan, kaum-kaum dan rakyat akan kesannya jika tidak memberi semula mandat kepada Barisan Nasional?

Adakah beliau mencintai Allah dan RasulNya dengan sanggup mempermainkan ayat Al-Quran dalam hal Hudud, aurat dan sebagainya serta mempersendakan janggut Nabi Muhammad saw dengan 'kisah pisau cukur gilletenya?'

Dalam tempoh 12 bulan dapat kita lihat bahawa nama Anwar Ibrahim dan keluarga menjadi bahan tumpuan berita dalam dan luar negara. Bagi akhbar dan majalah yang dikuasai Barisan Nasional, nama mereka diburukkan. Begitu juga dengan media elektronik seperti rancangan RTM, TV3 dan juga NTV7.  Dalam akhbar dan majalah bebas pula, yang sebaliknya dipaparkan. Berita-berita tersebut baik dalam negara maupun luar negara seperti Harakah, Eksklusif, Warta KL, Panji Masyarakat, Detik, Tamaddun, Times, Asiaweek dan lain-lain memberi tumpuan dan kekagumannya yang tersendiri kepada keluarga Anwar Ibrahim dan penyonong-penyokongnya.

Maka ternyata bahawa, berita dari akhbar atau majalah yang bebas ini lebih adil kepada kedua-dua belah pihak yang bertelagah yang sekarang ini lebih popular dengan nama kerajaan Barisan Nasional yang memerintah dan Barisan Alternatif yang menawarkan satu harapan baru kepada pencinta kebenaran dan keadilan.

Tidak dapat dinafikan bahawa 2 watak utama dalam pertikaian ini adalah Sdr. Anwar Ibrahim  dan Dr. Mahathir.  Sememangnya sudah menjadi adat dunia bahawa yang haq dengan yang batil akan bertembung, yang benar dengan yang salah, yang adil dengan yang zalim dan yang amanah dengan yang khianat.

Satu pandangan dan soalan ingin saya kemukakan sebelum mengundur diri kepada semua ahli UMNO dan penyokong Dr. Mahathir. Jika Dr. Mahathir sanggup mengkhianati Penciptanya dengan mempersoalkan apa yang ada dalam Kitabnya, apakah tidak mungkin dia juga akan mengkhianati anda? Seperti juga kita yang dilahirkan dengan hukuman mati, kita tidak tahu bila dan bagaimana caranya kita akan mati dan bertemu dengan Pencipta kita. Anda turut tidak tahu bilakah dan bagaimana cara anda akan dikhianatinya.

Walllahu 'alam
 

Oleh,
wiranusantara