Bantu Musuh Bantai Islam

Untuk kesekian kalinya Mahathir keluar negeri lagi. Yang digembar gemburkan selalu ialah lawatan lawatan tersebut adalah untuk kepentingan negara, melebar luaskan dagangan dengan negara negara yang berada di*pinggiran. Setakat ini telah berapa banyak misi dagangan dan pelbagai MOU ditandatangi - namun dari segi lain kita lihat keberkesanan dan keberkatan usaha usaha tersebut boleh dipersoalkan. Yang sudah pasti hangus ialah kos membiayai perjalanan tersebut yang ditanggung oleh kerajaan.

Jika kesemua misi dagangannya itu berkesan dan diberkati, tentulah negara tidak wajar mengalami kegawatan ekonomi, sekurang-kurangnya ada juga *shock-absorber* dari sumbangan dagangan negara negara pinggiran yang pernah dilawatinya dulu. Hakikatnya, negara terjejas lebih teruk dari negara jiran yang tidak terlalu gembar gemburkan idea menjalin hubungan dengan negara negara *pinggiran* blok Rusia tersebut.

Idea terbaru beliau untuk menjadikan Malaysia sebagai *salesman* kepada industri helikopter dari negara persekutuan Rusia sebenarnya sudah jauh membelakangi hasrat sebenar umat Islam. Rakyat boleh dibohongi dengan muslihat memperkembangkan perdagangan dengan adanya saloran media arus perdana yang bingkas memperkayakan sebarang pembohongan, tetapi aliran gerakan alternatif lebih arif dengan mentaliti dan permainan politik Mahathir yang semakin hari
semakin tebal unsur unsur jahilliyahnya.

Sebagai satu persekutuan, Rusia akan memperolehi banyak faedah dari jualan helikopter keluaran negeri dibawah kuasanya,  dan semakin kuat ekonomi Rusia, semakin hebatlah pukulannya terhadap gerakan Islam di Chechnya dan Dagestan. Secara tidak langsung, Malaysia menjadi agen kepada penghapusan gerakan Islam Rusia dengan membantu memasarkan barangan tersebut di rantau ini.

Hasrat beliau inginkan *technology transfer* dari usaha demikian dan keuntungan pingiran hanyalah impian kosong jika melihat kepada industri automobil negara yang lebih banyak menggunakan komponen luaran (70%) dan menguntungkan Jepun. Mungkin ini satu helah untuk mengabui mata rakyat supaya menganggap beliau sebagai pemacu kearah pembangunan negara. Jepun tidaklah sebodoh itu memandangkan kesan yang negatif pengarunya terhadap hubungan dagangnya dengan Amerika Syarikat. Inikan pula Malaysia, baru membangun dah cuba mengeksploit industri Jepun yang sedia kukuh itu.

Umat Islam yang menjiwai konsep persaudaraan Islam sejagat wajib menolak sebarang usaha untuk menjadikan negara kita sebagai *jurujual* untuk musuh Islam seperti apa yang sedang diusahakan oleh rejim Mahathir. Hari ini dalam sejarah patut mencatatkan bahawa demi kelangsungan politiknya dan kebanggaan materialistik, Mahathir sanggup melihat saudara-saudara Islam di Rusia di korbankan.

alkatib
--
--------------------------------------------------------------------
"The most dangerous moment for a bad government," Alexis de Tocqueville once wrote, "is usually when it begins to reform itself."