OSA – SIAPA SEBENARNYA PENGKHIANAT?

Pendahuluan

Sejak pengumuman Sdra Ezam mengenai dokumen-dokumen rahsia yang tersimpan di luar negara, kita dapat melihat betapa riaksi gelabah dan kalut yang ditunjukkan oleh pemimpin-pemimpin UMNO.  Riaksi pertama Mahathir ialah mengecam DSAI habis-habisan sebagai seorang petualang yang menderhaka kepada bangsa, agama dan negara. Ekoran dari itu, kita lihat pengampu-pengampu Mahathir turut mencerca perbuatan DSAI. Antaranya, sang hulubalang Mahathir yang berwibawa, Ibrahim Al-Kataki mencadangkan supaya suatu undang-undang penderhakaan (Treason) digubal segera supaya penderhaka boleh dikenakan hukuman mati.

Para ilmuan penjilat juga turut memberikan pandangan betapa hukuman bagi penderhaka di zaman Melaka. Ilmuan ini termasuklah Dr Rais Yatim (seorang pakar undang-undang perlembagaan yang juga peguam UMNO, yang suatu ketika dahulu keluar dari UMNO dan kini kembali ke pangkuan UMNO.  Oleh sebab Dr Rais ini terpelajar sedikit dan lebih bijak dari Ibrahim Ali, khususnya di dalam penggunaan Bahasa Inggeris, tetapi turut melompat macam Ibrahim Ali – eloklah kita nobatkan beliau dengan gelaran "Rais Froggie").

Media BN memberikan publisiti yang meluas kepada komen Rais Froggie.  Macamlah dia tu seorang sahaja yang tahu undang-undang.  Rakyat cuba diperbodohkan dengan tundingan kepada DSAI sebagai pengkhianat negara kerana menyimpan dokumen rahsia di luar negara.

Biarkan orang-orang BN terus mengomen dan mengomel mengenai "kedurjanaan" DSAI.  Memang begitupun nasib pemimpin-pemimpin BN, sama seperti siluncai yang terjun dengan labu-labunya.  Elok benarlah polis memulakan penyiasatan segera mengenai laporan polis terhadap Ezam, syaratnya, penyiasatan itu hendaklah mengikut teras dan prosedur undang-undang. Kita tidak gentar dengan gertak sergah pemimpin BN mengenai OSA.  To hell with OSA.

Kenapa kita tidak perlu gentar?  Sebabnya telah dijelaskan oleh DSAI bahawa dokumen-dokumen yang tersimpan di luar negara itu bukanlah dokumen yang berkaitan dengan keselamatan negara.  Jikapun ianya berkaitan dengan keselamatan, ianya lebih berkaitan dengan keselamatan individu-individu yang terlibat dengan rasuah dan salahguna kuasa.  Dokumen berkenaan cuma boleh dilindungi di bawah OSA jika ianya tergulung sebagai "rahsia rasmi".

Apakah "Rahsia Rasmi"?

Tafsiran "rahsia rasmi" di bawah Seksyen 2 OSA ialah "apa-apa suratan yang dinyatakan dalam Jadual dan apa-apa maklumat dan bahan behubungan dengannya termasuklah apa-apa suratan rasmi, maklumat dan bahan lain sebagaimana yang boleh dikelaskan sebagai ‘Rahsia Besar’, ‘Rahsia’ ‘Sulit’ atau ‘Terhad’, mengikut mana yang berkenaan oleh seorang Menteri, Menteri Besar atau Ketua Menteri sesuatu Negeri atau mana-mana pegawai awam yang dilantik di bawah Seksyen 2B".

Rahsia rasmi yang disebut di dalam Jadual meliputi suratan, rekod keputusan dan pertimbangan Jemaah Menteri serta jawatankuasa-jawatankuasa Jemaah Menteri, termasuk Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta suratan berkenaan dengan keselamatan negara.
Sumpah/Ikrar Taat Setia

Sebelum kita melangkah jauh dengan OSA, eloklah kita kaji terlebih dahulu dua persoalan utama yang berkaitan dengan tanggungjawab menyimpan rahsia.  Pertama, apakah asas yang menyebabkan Menteri Kabinet (termasuk Mahahtir dan DSAI) terikat untuk menyimpan rahsia rasmi?  Kedua, apakah DSAI dan lain-lain Menteri Kabinet terikat untuk menyimpan maklumat berkenaan secara rahsia semata-mata kerana ianya dikelaskan sebagai rahsia rasmi?

Bagi soalan pertama, kita lihat tanggungjawab seorang Menteri (termasuk DSAI) untuk taat setia kepada negara dan menyimpan rahsia kerajaan wujud sebaik sahaja mereka mengangkat sumpah Jawatan dan Sumpah Rahsia, seperti yang ditetapkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.  Kita perlu disedarkan bahawa Perlembagaan Persekutuan adalah udang-undang utama negara dan mana-mana undang-undang yang bertentangan dengannya dianggap tidak sah dan terbatal (lihat Perkara 4).  (Kita perlu disedarkan bahawa Perlembagaan ini dirangka oleh majoritinya orang bukan Islam.  Sekaligus, mana-mana peruntukan undang-undang termasuk undang-undang syariah iaitu Al-Quran dan Hadis yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan adalah tidak sah dan terbatal.  Oleh sebab itu tuduhan liwat terhadap DSAI dibicarakan mengikut Kanun Kesiksaan dan tidak mengikut undang-undang syariah.  Anihnya, tuduhan zina dan khalwat terhadap orang Islam dibicarakan mengikut hukum syariah).

Kita lihat bentuk dan kandungan sumpah atau ikrar yang dimuatkan di dalam Perlembagaan.  Bagi memudahkan kefahaman Ibrahim Al-Kataki (yang bakal dilantik sebagai Menteri penuh selepas pilihanraya akan datang nanti - biarpun IQnya cuma lebih sedikit dari Azizan Abu Bakar – kalau BN tetap menang), kita derafkan ikrar khas untuknya (yang bergaris) sebagai memudahkan Ibrahim AlKataki mengadakan raptai awal jika dilantik menjadi Menteri Penuh nanti.  Perkataan-perkataan dalam kurungan merupakan komen penulis).

? Sumpah Jawatan dan Taat Setia

"Saya IBRAHIM BIN ALI AL KATAKI, setelah dilantik (tidak dipilih kerana kalah di dalam pilihanraya) memegang jawatan MENTERI HUJAN (sebuah Kementerian baru yang akan ditubuhkan khas bagi Ibrahim AlKataki sesuai dengan fungsi utama sang katak) adalah dengan ini berikrar (kerana kepercayaannya kepada tukang tilik nasib Ibrahim dinasihatkan tidak perlu bersumpah) dengan sesungguhnya bahawa saya akan menunaikan kewajipan-kewajipan itu dengan jujur dengan segala daya upaya saya, bahawa saya akan menumpahkan taat setia yang sebenar kepada MAHATHIR (menggantikan "Malaysia"), dan akan memelihara, melindungi serta mempertahankan MAHATHIR (menggantikan "Perlembagaannya")

? Sumpah sebagai Ahli Parlimen dan Sumpah Taat Setia

Saya IBRAHIM BIN ALI ALKATAKI , setelah dilantik (tidak dipilih kerana kalah dalam pilihanraya) sebagai seorang ahli MAJLIS ZENITH SHIT (menggantikan "ahli Dewan Rakyat" atau "ahli Dewan Negara") adalah dengan ini berikrar (kerana kepercayaannya kepada tukang tilik nasib Ibrahim dinasihatkan tidak perlu bersumpah) dengan sesungguhnya bahawa saya akan menunaikan kewajipan-kewajipan saya sebagai yang demikian dengan jujur dengan segala upaya saya, bahawa saya akan menumpahkan taat setia yang sebenar kepada MAHATHIR (menggantikan "Malaysia"), dan akan memelihara, melindungi serta mempertahankan MAHATHIR (menggantikan "Perlembagaannya").

? Sumpah Rahsia

Saya IBRAHIM BIN ALI ALKATAKI adalah dengan sesungguhnya berikrar (kerana kepercayaannya kepada tukang tilik nasib Ibrahim dinasihatkan tidak perlu bersumpah) bahawa saya tidak akan memberitahu atau menzahirkan kepada sesiapa sama ada secara langsung atau tidak langsung apa-apa perkara yang dibawa untuk pertimbangan saya atau yang akan diketahui oleh saya sebagai seorang MENTERI HUJAN, kecuali sebagaimana yang mungkin dikehendaki untuk menunaikan dengan sempurna kewajipan-kewajipan saya sebagai yang demikian atau sebagaimana yang mungkin dibenarkan dengan khas oleh MAHATHIR (menggantikan "Yang DiPertuan Agong").

(Jika BN tetap menang di dalam pilihanraya akan datang nanti, jangan terkejut jika Ibrahim AlKataki mengemukakan cadangan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan supaya bentuk sumpah/ikrar ini dipinda sedemikian).

Jawapan kepada soalan kedua terserlah setelah kita melihat kandungan sebenar sumpah/ikrar berkenaan. Sumpah jawatan itu mengikat seorang Menteri memberikan taat setia kepada negara bagi mempertahankan Perlembagaan. Ianya tidak mengikat kesetiaan mana-mana Menteri kepada Mahathir. Sumpah jawatan itu juga menghendakki Menteri berkenaan menjalankan tanggungjawabnya dengan jujur.

DSAI mendedahkan dokumen-dokumen yang berkaitan dalam malaksanakan tanggungjawabnya sebagai seorang Menteri secara jujur demi kepentingan negara serta mempertahankan Perlembagaan. Negaraku adalah tanahairku.  Aku, kamu, DSAI dan mereka adalah rakyat yang berhak terhadap bumi bertuah ini. Negara Malaysia ini bukan semata-mata untuk Mahathir, Ibrahim Al-kataki atau kroni mereka.  Jadi apakah DSAI tidak taat setia atau mengkhianati Negara kerana menyimpan dokumen berkenaan diluar negara? Tidak. Sebab DSAI adalah hulubalang yang taat setia kepada rakyat dan menjalankan tanggungjawab dengan jujur biarpun dengan menderhakai Mahathir.

Rasmikah Rahsia-rahsia itu?

Kita semak dokumen-dokumen yang dijadikan eksibit di dalam laporan polis DSAI terhadap Mahahtir, Rafidah Aziz, Mohtar Abdullah, Ghani Patail, Daim, Rahim Tambi Chik dan Eric Chia.

Dalam kes Perwaja umpamanya, mungkin laporan audit Price Waterhouse telah dibincang dan pertimbangkan oleh Jemaah Menteri dan dikelaskan sebagai Rahsia Besar, Rahsia dsbnya. Biarpun laporan ini tidak berkaitan dengan keselamatan negara, oleh sebab ianya merupakan suratan atau maklumat yang dibincangkan oleh Jemaah Menteri, maka setakat itu kita terimalah pendapat Rais Froggie bahawa dokumen berkenaan adalah rahsia rasmi.  Malangnya Rais Froggie gagal melihat peruntukan undang-undang secara menyeluruh sebelum mebuat kesimpulan demikian.

Natijah peruntukan sumpah/ikrar taat setia yang dimuatkan di dalam Perlembagaan Persekutuan yang dibaca bersama dengan OSA tidak bermaksud melindungi mana-mana perbuatan jenayah.  Perlembagaan Persekutuan dan OSA digubal dengan mengambilkira kepentingan rakyat dan individu.  Justeru, jika terdapat sebarang salahlaku, rasuah dan salahgunakuasa di dalam kes Perwaja yang melibatkan Mahathir dan Eric Chia, janganlah rakyat ditemberangkan dengan OSA.

Kenapa Mahathir perlu gundah dengan laporan polis oleh DSAI terhadapnya jika beliau menjalankan tanggungjawabnya dengan jujur?  Bukankah Mahathir sering melaungkan mengenai pentingnya ketelusan di dalam Kerajaan pimpinannya?  Yang sebenarnya, Mahathir kini dihantui ketakutan dengan pendedahan demi pendedahan yang dibuat oleh DSAI.  Bukankah kita diasuh supaya menjadi berani kerana benar dan takut kerana salah?  Jadi tidak menjadi kesalahan kepada rakyat untuk membuat andaian salah terhadap Mahathir kerana cuba melindungi kes Perwaja dan Eric Chia dari rakyat umum.

Mahathirlah yang sebenarnya melanggar sumpah taat setianya kepada negara kerana dengan pendedahan kes Perwaja ini, jelaslah bahawa Mahathir tidak melaksanakan tugasnya secara jujur bagi mempertahankan Perlembagaan.  Lebih tepat, yang menjadi pengkhianat bangsa, ugama dan negara ialah Mahathir sendiri.  Mahahatirlah yang mengkhianati negara kerana melindungi Eric Chia.  Perbuatan melindungi penjenayah itu adalah suatu kesalahan jenayah di negara ini (Jika tak percaya sila tanya dengan Rais Froggie, Mohtar Abdullah dan Ghani Patail yang boleh mengesahkan perkara ini).

Kita tinjau pula kes BPR terhadap Rafidah Aziz dan kes BPR serta jenayah Rahim Tambi Chik.  Pun kita setuju sangatlah dengan Rais Froggie bahawa kandungan kertas siasatan dan cadangan pertuduhan oleh Ghani Patail itu sebagai rahsia rasmi.  Lebih-lebih lagi kerana dieksibit berkenaan terpampang jelas tandatangan Ghani Patail mengesahkan dokumen berkenaan sebagai RAHSIA.  Seksyen 16(1) OSA tidak memerlukan bukti lanjut mengenai sifat rahsia dokumen berkenaan kerana ianya telah disahkan oleh Ghani Patail.

Malangnya, sejak dokumen tersebut didedahkan, tiada sebarang riaksi dari Jabatan Peguam Negara. Bukankah Peguam Negara juga telah sama mengangkat sumpah setia seperti yang terkandung di dalam Perlembagaan?  Bukankah sumpah berkenaan memerlukan Peguam Negara menjalankan tugas dengan jujur, dengan penuh taat setia kepada Malaysia serta mempertahankan Perlembagaan?

Kejujuran itu menghendakki Peguam Negara menjalankan tugasnya mengikut Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara.  Kuasa budibicara pendakwaan Peguam Negara tidak membolehkan beliau menjalankan tugasnya secara hentam keromo, ikut suka dia atau selektif.  Kuasa budibicara itu juga perlu dilaksanakan secara bebas tanpa pengaruh dari mana-mana pihak lain ketika membuat keputusan pendakwaan.  Jadi, apakah Mohtar Abdullah atau Ghani Patail perlu mendapat perkenan dari Mahahtir sebelum mendakwa Rafidah Aziz, Rahim Tambi Chik dan yang lain-lain lagi?  Hakikatnya, demikianlah.

Jika demikian, jelaslah juga bahawa Mohtar Abdullah dan Ghani Patail telah melanggar sumpah.  Mereka ini tidak setia kepada negara kerana lebih setia kepada Mahathir (seperti sumpah Ibrahim AlKataki). Jadi siapakah yang mengkhinati bangsa, agama dan negara?

Mungkin elok benar jugalah mengenai cadangan Ibrahim AlKataki untuk memperkenalkan undang-undang Derhaka. Tetapi sebelum itu, Ibrahim perlulah berfikir dengan lebih cerdik (bukankah ketara benar kecerdikan si brahim ini dalam hal ehwal undang-undang sejak dilantik menjadi Timbalan Menteri dengan portfolio undang-undang).  Silap-silap undang-undang itu akan menjadi senjata yang akan memakan diri mereka sendiri.  Biar rakyat tahu pada masa itu siapa sebenarnya pengkhianat bangsa, negara dan agama.

Awang ISA