KENYATAAN MEDIA (25 OGOS 1999)
PEMBEBASAN LIM GUANG ENG : MOMENTUM BARU PERJUANGAN
MENENTANG KEZALIMAN

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) merakamkan setinggi tahniah kepada seluruh pejuang keadilan terutama keluarga YB Lim Kit Siang di atas pembebasan Sdr Lim Guang Eng daripada tahanan Penjara Kajang hari ini. DPP Pusat juga mengucapkan terima kasih di atas pengorbanan yang disumbang oleh Guang Eng demi untuk mempastikan kelangsungan perjuangan keadilan di negara ini walaupun terpaksa merengkok di penjara. Pembebasan pada pagi ini sudah tentu menjadi momentum baru kepada rakyat Malaysia yang sedang berusaha keras untuk memperjuangkan Kemerdekaan Kedua daripada kezaliman dan penjajahan BN.

DPP Pusat berpandangan bahawa sambutan hangat yang diberikan oleh rakyat dari pelbagai kaum kepada Guang Eng pada hari pembebasan beliau menggambarkan seluruh kaum yang ada di negara ini bersatu padu untuk menolak kezaliman BN. Pengalaman Guang Eng yang sudah beberapa kali merengkok dipenjara menjadi medium utuh yang akan meroboh rangkaian kezaliman yang sedang ditaja oleh BN. Perpaduan yang berlaku hari ini diharapkan dapat memulakan sejarah baru yang meruntuhkan tembok perkauaman ke arah menghancurkan kebejatan pemerintahan BN.

DPP Pusat juga menaruh harapan yang besar kepada Guang Eng agar tidak serik untuk terus berjuang merobek layar kezaliman BN. Kezaliman yang ada hari ini mesti terus ditentang dengan perpaduan daripada seluruh rakyat tanpa mengira darah keturunan, agama, bangsa, status sosial dan budaya. Menolak kezaliman sudah menjadi tangggungjawab yang besar kepada rakyat memandangkan kezaliman yang ada semakin menggila meragut segala hak rakyat demi untuk kemewahan dan
keangkuhan hidup pemimpin BN.

DPP Pusat mengajak seluruh rakyat agar mencontohi pengobanan Guang Eng yang sanggup menjadikan dirinya sebagai lilin yang membakar diri demi untuk menerangi orang lain. Pengorbanan seperti ini amat penting dan bermakna di dalam usaha untuk menegakkan keadilan dan menolak kezaliman yang dijana oleh BN.

DPP Pusat juga menyeru rakyat agar mengambil kesempatan daripada peluang pilihanraya ini untuk membuat pilihan tepat dengan menolak BN dan memilih parti-parti alternatif bagi mempastikan pengorbanan Guang Eng menjadi lebih bermakna untuk melihat keadilan dan kesejahteraan dapat ditegakkan. Kesilapan membuat pilihan bermakna lebih ramai lagi rakyat yang akan dimangsakan oleh kezaliman BN.
 

HAJI MAHFUZ HAJI OMAR

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat