Tetamu Afghan di Hotel Federal


Assalamu'alaikum.

Semalam (25/8/99) di Hotel Federal Kuala Lumpur, dalam Majlis Bersama Presiden Ustaz Fadhil Mohd Nor, seorang lelaki berbangsa Afghan telah berdiri di hadapan mikrofon dalam sesi dialog dan mengisahkan tentang apa yang berlaku di negaranya Afghanistan.

Menurutnya, rakyat Afghan pada mulanya merupakan rakyat yang sudah tidak peka lagi kepada isu-isu keadilan. Mereka sudah dibisu dan dipekakkan oleh regim boneka yang berkuasa yang dikuasai oleh Rusia, walaupun jamaah Islamnya sudah lama berjuang untuk menegakkan Daulah Islamiah di negara tersebut.

Sebelum berlakunya serangan dan penjajahan secara langsung oleh Rusia ke atas bumi Afghanistan itu, kerajaan Afghan sudah mula bertindak kasar terhadap para ulamak Afghan. Ramai yang dihina, ditangkap, difitnah dan dibunuh. Ramai juga para pensyarah universiti yang menentang dasar zalim kerajaan yang ditangkap.

Rupa-rupanya, rakyat Afghan masih sayang dan menghormati para ulamaknya. Dengan siri penindasan para ulamak secara agresif ini, maka bermulalah satu episod penentangan rakyat secara menyeluruh yang juga dilakukan secara agresif terhadap kerajaan boneka Najibullah sehinggalah campurtangan Rusia secara langsung ke dalam bumi Afghan.

Serangan ke atas para ulamak rupa-rupanya menjadi seperti penyemarak kepada kesedaran rakyat secara menyeluruh, satu penentangan yang tidak pernah disaksikan sebelumnya di Afghanistan. Mereka tidak dapat lagi membendung perasaan dan tidak sanggup lagi membiarkan sahaja para ulamak mereka dihina sedemikian rupa.

Katanya lagi, apa yang disaksikannya di Afghanistan itu sedang berlaku di Malaysia pada ketika dan saat ini. Sentimen yang serupa juga dapat dirasakan olehnya ketika ramai para ulamak negara ini sedang dihina dan difitnah secara agresif (fitnah lebih bahaya daripada bunuh - al-ayat). Ketika serangan secara agresif dan tanpa berselindung ke atas para ulamak yang disayangi ramai inilah rakyat akan bangkit secara menyeluruh dan menjatuhkan kerajaan yang zalim ini.

Menurutnya lagi, beliau optimis apa yang berlaku di Afghanistan itu akan berulang di Malaysia dalam era penyerangan bertubi-tubi terhadap para ulamak rakyat. Bahawa kerajaan yang zalim di bawah pemerintahan Mahafiraun ini akan dijatuhkan dan digantikan oleh sebuah kerajaan yang jauh lebih adil di bawah naungan dan bayang-bayang Islam, insyallah. Kata-katanya diakhiri dengan takbir yang gemuruh oleh para hadirin yang memenuhi ruang dewan Hotel Federal itu.

(Nota: Perang saudara yang sedang berlaku hari ini [hasil konspirasi Barat] di antara kumpulan-kumpulan Islam di Afghanistan adalah satu isu lain dan tiada kaitan dengan tajuk ini.)

Salam,

HC