Demokrasi mati, keadilan musnah - Ku Li

   -------------------------------------------------------------------------------

   Di sini kami siarkan satu artikel bagi mendedahkan bahawa Ku Li adalah hipokrit.
   Ketika dalam S46 dulu bukan main lagi mengutuk UMNO dan penyelewengan kerajaan,
   tetapi sekarang menjadi gurkha kepada Mahathir. Artikel ini adalah wawancara dengan
   beliau pada Januari 1995 dan disiarkan dalam majalah Dunia Islam. Kami berterima
   kasih kepada pengirim artikel ini. - webmaster.

   -------------------------------------------------------------------------------

   Bagaimana menurut pandangan Tengku mengenai senario pilihanraya yang akan
   diadakan dalam waktu dekat ini.

   Pilihanraya sudah tentu tidak mencerminkan keadilan kepada pihak di luar kerajaan yang
   mengambil bahagian dalam pilihanraya itu. Sebab, segala tindakan yang dilakukan berat sebelah.
   Saya tidak hendak menyalahkan Suruhanjaya Pilihanraya. Memang mereka menjalankan tugas
   dengan baik. Tinggal lagi mereka tidak diberi kuasa sebagaimana yang patutnya dibekalkan
   kepada mereka sebagai satu badan yang berkecuali dalam pilihanraya. Jadi macam mana kita
   boleh mengharapkan satu keputusan yang baik, yang saksama. Bagaimana kita mahu
   mengharapkan satu pilihanraya yang dijalankan secara bersih. Tak mungkin! Oleh kerana
   kerajaan akan menggunakan segala kesempatan untuk menjamin kemenangannya supaya dia
   kekal berkuasa. Umpamanya dia akan menggunakan segala jentera kerajaan untuk memihak
   kepadanya dalam pilihanraya walaupun ada Suruhanjaya Pilihanraya. Dia akan memerintah polis
   bertindak terhadap lawan dan memberi ruang kepadanya untuk bertindak sebebas-bebasnya
   walaupun bertentangan dengan undang-undang. Umpamanya macam menggunakan wang
   ataupun belanja.

   Sebagai government sepatutnya mereka tidak boleh menggunakan wang kerajaan lagi kerana
   kuasa mereka sudahpun lupus apabila parlimen dibubar. Dia tidak boleh lagi buat sebarang
   komitmen yang melibatkan wang rakyat. Dan dia juga tidak boleh menggunakan wang parti
   melebihi daripada apa yang ditentukan undang-undang. Misalnya dalam conduct elections law,
   seseorang calon bagi kawasan Dewan Undangan Negeri tidak boleh belanja lebih daripada
   RM30,000 sepanjang masa kempen termasuk wang pertaruhan. Tetapi kita tahu bahawasanya
   pihak yang berkuasa akan berbelanja lebih daripada jumlah yang ditentukan undang-undang.
   Tetapi kalau kita yang melakukannya, maka kita dituduh melanggar undang-undang dan kita
   akan dihadapkan ke mahkamah kalau kita menang.

   Maka rasuah menjadi-jadi semasa pilihanraya. Kalau tak termakan cara ugut, pujuk rayu tak
   boleh, maka mereka akan beri duit. Ini merupakan perkara yang diketahui umum. Kawasan saya
   umpamanya pada pilihanraya lepas, beribu-ribu duit ditawarkan. Ada di antaranya ditawar
   RM1,000 seorang.

   Orang saya ambil duit itu, tetapi tidaklah mengundi mereka. Malahan orang asli pun ditawarkan
   duit. Itu melanggar undang-undang. Tidak ada apapun tindakan keadilan yang dilakukan oleh
   Suruhanjaya Pilihanraya terhadap perbuatan yang dilakukan parti yang berkuasa.

   Macam bagi projek dalam pilihanraya seperti bagi tanah merah di kampung-kampung, janji bina
   masjid, derma kepada budak-budak sekolah. Ini terang-terang disiarkan dalam TV. Sepatutnya
   ini tidak boleh dilakukan kerana itu adalah tindakan rasuah. Macam mana kita boleh menjamin
   keadilan kalau mereka menggunakan segala jentera kerajaan, kelengkapan kerajaan, alat-alat
   kerajaan. Ini semua sudah tentu tidak adil. Ini perkara yang disalahgunakan oleh parti yang
   berkuasa.

   Kita bercakap pasal demokrasi sepatutnya rakyat diberi pilihan. Macam mana rakyat mahu buat
   pilihan kalau rakyat tidak tahu apa yang dikemukakan oleh pihak yang menekan parti-parti
   kerajaan. Oleh kerana media tidak menyiarkan berita mengenai kita... Bukan media tidak mahu
   menyiar. Media dilarang, ditegah. Tahun 1990 manifesto kitapun tak dapat disiarkan dalam
   Surat khabar. Kerana Strait Times Group, Utusan, walaupun sudah ada kontrak, di saat akhir
   dia kata tak boleh siar. Dia kata, kalau you tak puas hati dakwalah di mahkamah.

   Bukan soal kita mahu bawa benda ini ke mahkamah. Kerana sudah ada perjanjian, patut
   disiarlah sebab kita mengharapkan kerjasama media. Jadi oleh kerana itu rakyat tak dapat baca
   manifesto kita. Disebar juga tapi tidak meluas, dan tak sempat untuk disebarkan dalam masa 5-6
   hari. Sedangkan kita mengharapkan rakyat boleh buat pertimbangan berdasarkan apa yang dia
   dapat dibanding di antara yang dicadangkan oleh kerajaan dengan yang dibuat oleh pihak
   pembangkang. Jadi macam mana hendak berharap kita mendapat keadilan. Pilihanraya sudah
   tentu tidak akan berjalan secara saksama.

 

   Jadi apakah tidak ada kebebasan?

   Tidak ada kebebasan yang diberi kepada kita. Macam mahu mendapat permit daripada polis
   untuk mengadakan ceramah, susah, bukan senang. Sedangkan kebebasan itu dijamin oleh
   undang-undang kerana kita mahu bersuara dan menyuarakan kepentingan rakyat.
   Kadang-kadang tempat yang kita cadang, polis kata tak boleh. Kita terpaksa cari tempat lain.
   Haram kita boleh dapat dewan. Dewan milik kerajaan sudah tentu kita tidak boleh langsung
   menggunakannya. Dan dewan-dewan milik orang bisnes, kerana mereka takut kepada
   pemerintah, dia tak bagi untuk kita gunakan. Jadi kita terpaksa menumpang rumah orang yang
   bersimpati dengan kita. Itu saja tempat yang boleh kita cari. Kalau tak ada tempat, cuacapun tak
   elok, maka tak adalah ceramah kita.

   Dan kempen pula cuma lapan hari, mulai dari hari penamaan calon hingga hari mengundi. Dalam
   masa lapan hari itulah kita mesti bergerak, berjumpa dengan rakyat, menyampaikan pandangan
   kita. Dan risalah-risalah kita pula dirampas oleh polis. Jadi, mahu dikata demokrasi, mana dia
   demokrasi? Tak ada kebebasan.

   Permit pula, walaupun kita ada borang E (borang untuk kempen pilihanraya yang ditandatangani
   oleh wakil calon yang mengizinkan kita berkempen), namun kalau nama kita tidak termasuk
   dalam senarai yang dilulus oleh polis, kita tidak boleh bagi ceramah. Saya sudah terkena 2-3
   kali. Berkejar ke tempat saya diundang berceramah, tetapi malangnya kerana nama saya tidak
   ada dalam fail, saya tak boleh berceramah.

   Walaupun saya ada borang E. Polis kata, betullah awak boleh kempen di mana-mana, boleh
   bercakap, boleh melobi, tetapi tak boleh naik pentas untuk berceramah. Tetapi orang lain (parti
   kerajaan) boleh pula. Berarak boleh. Orang UMNO boleh berarak tanpa izin polis. Baru-baru
   ini UMNO buat perarakan di Ampang untuk bantai saya, kononnya saya penderhaka, mereka
   berarak dengan motosikal sebanyak 2000. Mereka boleh berarak, boleh rapat umum. Kita
   tidak boleh. Mesti nama kita ada dalam senarai, dan permohonan mesti dibuat sebelum 14 hari,
   kadang-kadang diinterview pula. Macam minta kerja. Mana ada kebebasan!

 

   Kalau begitu apakah demokrasi di Malaysia ini masih wujud atau tidak?

   Demokrasi itu masih wujud mengikut fahaman setengah-setengah pihak. Tetapi tidak
   sebagaimana yang dijamin oleh Perlembagaan.

   Freedom Of Association, maknanya bila-bila masa kita boleh menyertai mana-mana badan.
   Freedom Of Speech, maknanya bila-bila masa kita boleh bercakap. Betul adanya
   batasan-batasan, dan ada undang-undang yang menegah kita buat itu dan buat ini. Asalkan kita
   patuh kepada undang-undang itu sebenarnya kita bebas di bawah jaminan perlembagaan negara
   sejak kita merdeka. Kita bebas mengeluarkan pendapat dan pandangan, hatta you pun bebas
   menyiarkan rencana atau karangan yang kontra dengan kerajaan. Cuma terpulang kepada
   mahkamahlah kerana mereka yang mentafsir undang-undang itu. Kalau you tidak diputuskan
   bersalah maka you bebas. Soalnya sekarang kebebasan itu tidak ada malahan undang-undang
   digunakan untuk menyekat kebebasan.

   Kita ini memperjuangkan orang ramai. Ada yang menyokong kita. Buktinya, pilihanraya dulu kita
   dapat 835,000 undi di seluruh Semenanjung. Campur dengan PAS kita dapat 1.3 juta undi lebih
   berbanding dengan UMNO yang ada kuasa, yang ada media, yang ada duit, dan sanggup
   melanggar undang-undang, cuma dapat 1.6 juta undi. Itu termasuk calon dia di Labuan, yang
   kita tak bertanding. Bezanya cuma 200,000 ribu undi lebih.

   Dan sepanjang pilihanraya kecil yang diadakan selepas 1990, PAS yang banyak bertanding.
   DAP cuma satu tempat. Pada pilihanraya kecil di Kampung Raja, undi kita tidak kurang
   daripada 47 persen. Memanglah bukan cuma undi S46 saja, campur dengan PAS, HAMIM dan
   yang lain-lain, yang anti kerajaan. Tetapi hakikatnya undi kita tidak turun. Maknanya suara kita
   memang disokong oleh sebahagian besar rakyat. Itupun dalam keadaan yang terhad. Susah
   untuk berjumpa rakyat, susah untuk niengadakan perhimpunan, susah untuk menyebarkan
   risalah. Media massa langsung tidak mahu bekerjasama dengan kita. Ini mainstream media.
   Bahkan dia anti kita terus.

   Dalam keadaan begitu kita masih dapat sokongan orang ramai. Ceramah kita di mana-mana
   dihadiri 2-3 ribu penyokong, malahan sampai 10-20 ribu penyokong. Ada juga yang kecil,
   dihadiri 100-200 orang. Ianya bergantung kepada isu dan kepada keadaan setempat. Jadi tak
   betul adanya tuduhan bahawa orang boikot kita, orang tak sokong kita. Terbukti dengan
   pilihanraya kecil, kita masih lagi disokong rakyat. Dan calon kita dalam setiap pilihanraya, tak
   seorang pun yang kehilangan wang deposit. Semuanya undi besar-besar. Laris benar. Kalau tak
   kerana undi pos dan tindakan berat sebelah, belum tentu mereka menang.

   Parti kerajaan malahan menuduh saya masuk Kristian, pindah ke salib. Dan juga saya dituduh
   mahu bunuh PAS. Mana boleh PAS dibunuh. Selagi orang ramai masih menyokongnya, tak
   boleh dibunuh, kecuali kalau Mahathir membatalkan pendaftarannya.

   Begitu juga nasib yang dialami parti S46. Mereka tuduh banyak ahli yang sudah lari,
   menyeberang ke UMNO. Namun parti ini tidak mati, selagi masih ada penyokong dan gerakan.

 

   Tadi dikatakan adanya penyalahgunaan fasiliti dan media. Sedangkan ini merupakan
   ciri di negara-negara sedang membangun, iaitu membungkam parti-parti pembangkang
   agar pembangunan berjalan tanpa sebarang halangan?

   Kalau begitu baik haram saja parti pembangkang, kalau lebih mementingkan soal pembangunan.
   Tak ada gunanya parti pembangkang. Apa gunanya dilaungkan kebebasan. Suara kita ini bukan
   suara parti, suara rakyat. Cuma rakyat tak boleh bersuara secara individu, maka mereka
   menyalurkan kehendaknya menerusi parti, kumpulan yang tersusun atau organisasi. Begitu juga
   dengan PAS, sememangnya ada orang yang percaya dengan perjuangan yang dibawa oleh PAS,
   dan perkara ini tidak boleh kita nafikan. Begitu juga dengan perjuangan yang kita bawa,
   beribu-ribu penyokong kita. Begitu juga dengan DAP.

   Semua kewujudan parti-parti itu tidak boleh dinafikan. Itulah demokrasi. Apabila rakyat tolak,
   barulah boleh dikatakan kumpulan ataupun parti itu tidak lagi mendapat kepercayaan orang
   ramai. Tetapi kalau hanya dengan alasan parti-parti ini boleh mengganggu kelancaran dan
   menghalang pembangunan, lebih baik diharam terus. Tak perlu pinda perlembagaan. Kerajaan
   punya kuasa untuk mengharamkan. Mana yang sudah mendaftarkan sebagai parti politik,
   batalkan pendaftaran. Mana yang sedang memohon, tolak. Bahkan Suruhanjaya Pilihanraya
   digantung, tak usah ada pilihanraya. Surat-surat khabar yang menentang kerajaan tutup, kerana
   ada menyiarkan pendapat ataupun rencana yang bertentangan dengan pendapat kerajaan. Bukan
   setakat itu saja. Dalam parti merekapun, mana-mana orang yang tidak selaras dengan yang
   berkuasa, gantung, buang atau arahkan supaya letak jawatan. Kerana itu mengganggu juga.

   Macam sekarang saya dengar, Anwar dengan Mahathir berbalah dan berkrisis, tentukan supaya
   salah seorang di antara mereka dibuang, kerana akan mengganggu juga. Realiti ini tak boleh
   dinafikan. Adik-beradik saja (sudah) lain pendapat. Anak mesti patuh kepada bapa walaupun
   berlainan pendapat. Tuhan jadikan kita begitu, iaitu wujudnya perbezaan pendapat adalah
   perkara yang mesti ada.

   Malaysia ini milik orang ramai, bukan milik raja, bukan milik orang yang berkuasa, bukan milik
   orang miskin. Milik semua pihak. Dan semua pihak berhak bercakap mengenai masa depan
   negara.

 

   Jadi kalau begitu mengapa kerajaan menyekat kebebasan rakyat?

   Itu sebab kita mahu buang dia (ketawa) kerana mereka bersikap tidak adil. Kalau suara rakyat
   disekat, bila lagi wujudnya keadilan?

 

   Kerajaan pula ingin membuang parti pembangkang?

   Tak apa asalkan mengikut peraturan dan undang-undang yang sedia ada. Tetapi susahnya, dia
   buat undang-undang tetapi dia tidak ikuti. Dan dia guna kuasa di luar kuasa yang ditentukan
   undang-undang untuk menyekat kita. Sedangkan kita diminta untuk mengikuti undang-undang.
   Dia sendiri tidak patuh. Sebab itu orang tidak berapa hormat kepada undang-undang sekarang.
   Kalau undang-undang dibuat tidak berdasarkan kehendak masyarakat tetapi kerana kehendak
   penguasa maka tak jadilah. Kita bagi satu contoh mengenai hukum gantung bagi pengedar
   dadah. Itu bukan tuntutan masyarakat. Itu kerana pihak yang berkuasa menganggap ianya
   merupakan cara untuk menyelesaikan masalah. Apakah ini sudah menyelesaikan masalah? Lebib
   ramai lagi orang digantung sekarang. Semakin banyak orang yang menagih dadah. Apakah itu
   sudah menyelesaikan masalah kita? Kerana pihak berkuasa menganggap ini cara yang terbaik,
   bukan mengikuti suara orang ramai. Dan itu bertentangan dengan Islam. Mana boleh cabut
   nyawa orang. Apa dosa dia. Dia penagih dadah.

 

   Mungkin kerana dadah ditafsirkan sebagai sesuatu yang tidak baik?

   Ada juga baiknya dadah kalau digunakan cara yang betul, iaitu untuk digunakan ubat. Hari-hari
   di hospital digunakan. Ini semua kerana tidak mengikuti suara dan tuntutan orang ramai. Jadi
   undang-undang tidak dihormat. Sebab itu orang langgar undang-undang setiap hari. Malangnya,
   kesalahan yang kecil-kecil kena penjara. Yang ambil beribu-ribu juta ringgit tak kena. Hukum
   pula ditafsirkan secara berbeza-beza. Bagi you salah, bagi dia tak salah. Double standard.
   Sebab benda ini dibuat bukan bertujuan untuk melindungi masyarakat, melainkan untuk
   melindungi pihak yang berkuasa. OSA semata-mata untuk menutup mata orang ramai terhadap
   penyalahgunaan kuasa yang mereka lakukan. Sekarang ini susah kita untuk mendedahkan
   kes-kes rasuah, kes penyelewengan kerana pegawai-pegawai kerajaan yang ikhlas, yang
   amanah tak sanggup bagi maklumat ataupun dokumen. Kerana kalau dia sabit maka dia kena
   penjara. Dan kalau dia dapat maklumat tak boleh disiar. Satu bakul masuk penjara mulai dari
   pengarang, pemilik penerbit, dan printing. Mininum 2 tahun penjara.

   Ada orang mengatakan ISA undang-undang yang dahsyat. Sebenarnya Polis Act (Akta Polis)
   lebih dahsyat. Betullah ISA itu lebih dahsyat kerana boleh tahan orang selama 60 hari, lepas itu
   boleh tahan sehingga 2 tahun, dan boleh disambung selama 2 tahun lagi. OK. Dahsyat! Tetapi itu
   ISA. Akta Polis lagi teruk. Kalau kita ada lima orang berkumpul maka dianggap salah.
   Tanpa permit polis kita tidak boleh duduk lima orang. Makan satu keluarga lima orang
   pun salah. Tidak boleh diadakan perhimpunan lebih daripada lima orang tanpa permit
   polis. Dahsyat undang-undang ini. Lebih daripada zaman Jepun. Hukumnya adalah denda
   minima 2 ribu atau penjara 1 tahun atau kedua-duanya sekali. Mana ada undang-undang
   demokrasi macam ini!

 

   Bolehkah dikatakan undang-undang yang ada sekarang justeru untuk mengekalkan
   kekuasaan yang ada?

   Iya. Keadaannya begitulah. Kita tidak boleh kritik dia lagi, tidak wujud lagi pemerintahan yang
   amanah, tidak boleh dedahkan penyelewengan mereka. Kebenaran disembunyi daripada orang
   ramai. Inilah undang-undang yang dipakai sekarang samada ISA, OSA, Akta Polis, akta
   percetakan.

 

   Apakah pilihanraya yang diadakan adalah untuk mengelabui mata rakat bahawasanya
   ada demokrasi?

   Ya, memang begitu. Apa demokrasi? Demokrasi adalah penglibatan orang ramai dalam
   pembentukan pemerintahan. Kondisinya sebelum dia dapat melibatkan diri untuk pembentukan
   satu pemerintahan, dia mesti tahu apa yang dia buat. Apa pilihan dia. Tetapi kalau dia tak tahu
   apa yang sepatutnya dia buat, maka dia lebih mengutamakan untuk membentuk kuasa secara
   menipu rakyat. Guna fasiliti, guna wang, guna pangkat. Ini bukan demokrasi.

 

   Baru-baru ini Dr. Mahathir menuduh langkah British memberi kelulusan kepada PAS
   menamakan dirinya Parti Islam adalah rancangan penjajah untuk memecahbelahkan
   perpaduan Melayu. Benarkah tuduhan ini?

   Itu tak betul. Mahathir mengigau! Kalau tak mengigau, dia nyanyuk Semua orang tahu. PAS
   ditubuhkan tahun 1951 hasil daripada perbincangan para ulama di Bukit Mertajam. Dan di
   situlah para ulama yang hadir memutuskan untuk menubuhkan satu pertubuhan yang terasing dari
   badan lain. Sejak saat itulah tertubuhnya PAS. Tak ada kena mengenai dengan British atau
   dengan sesiapa.

 

   Bagaimana pula dengan penubuhan UMNO sendiri?

   Dulu UMNO dikuasai oleh cikgu, yang merasakan mereka ini golongan yang tertindas dan
   tertinggal. Kerana mereka guru-guru di sekolah Melayu maka mereka perjuangkan soal bahasa.
   Dengan itu barulah mereka dapat menegakkan semangat kebangsaan. Walaupun Tengku Abdul
   Rahman dapat pendidikan British, begitu juga Tun Razak, namun mereka terpaksa ikut juga
   majoriti yang ingin menegakkan kebangsaan dan semangat Melayu. Dan itu menyelamatkan kita
   sebenarnya, memberikan identiti kepada perjuangan Melayu dan kepada negara kita. Sejarah
   Persatuan Guru-guru Melayu dulu begitu gemilang. Sekarang sudah tidak ada. Golongan ini
   tinggal 15 persen saja di dalam UMNO. Sekarang korporat yang kontrol UMNO, yang
   sanggup gadai maruah. Tidak ada prinsip.

 

   Bagaimana pandanan Tengku mengenai penurunan saham yang jatuh cukup teruk
   sejak pertengahan Disember lalu?

   Ini membuktikan negara kita ini kecil. Tak usahlah bercakap besar di luar negeri. Ellen Crisforr,
   pengerusi Bank Pusat di Amerika Syarikat, telah membuat pengumuman bahawasanya dengan
   pertumbuhan ekonomi yang menggalakkan di Amerika Syarikat tidak dapat dinafikan
   bahawasanya Amerika akan dilanda inflasi kerana orang sedang ghairah berbelanja di mana
   mereka sudah dapat kerja sekarang ekoran pemulihan ekonomi di negara itu. Mereka tidak
   mahu taraf hidupnya terjejas. Taraf hidup mereka akan terjejas dengan kemerosotan nilai kuasa
   beli dan ia biasanya berlaku apabila negara dilanda inflasi kerana nilai dollarnya sudah kurang.

   Mana-mana Presiden Amerika tidak mahu rakyatnya terjejas taraf hidupnya. Kalaupun terpaksa
   syarikat bankrap, tak apa kerana mereka mempunyai program kerja. Asalkan jangan taraf
   ekonomi rakyat terjejas. Maka dinaikkan kadar faedah pinjaman untuk bon, untuk pinjaman
   bank dan sebagainya. Apabila naik kadar faedah, duit-duit yang dilabur di luar negeri akan
   tertarik dengan kadar faedah yang tinggi. Ini menunjukkan stock market kita tidak ada kekuatan
   tersendiri. Kalau ada kekuatan, tidak akan jatuh. Yang menanggung akibat kejatuhan harga
   saham ini bukan golongan atas, tetapi suri rumah tangga, kerani, yang cuba mencari untung
   200-300 ringgit sebulan, mereka inilah yang menanggung.

   Kata Anwar Ibrahim pula, jangan bimbang kerana kejatuhan ini sementara. Jangan panik. Tapi
   benda ini, kalau jatuh hari itu, ya hari itulah jatuhnya. You rugi hari ini, ya hari inilah ruginya, tak
   dapat diganti esok. Besok orang lain pula yang untung. Saya rugi hari ini, saya tak untung besok
   kalaupun naik harga saham. Orang lain pulalah yang untung. Begitulah stock market ini. Akibat
   seterusnya, terjejaslah pelaburan dalam negara kalau duit itu sudah dipindah. Pelaburan yang
   dijanji ataupun yang diputus datang ke Malaysia tak akan datang.

   Beginilah nasib kita kerana terlalu banyak bergantung kepada pelaburan luar. Kalau
   pelabur-pelabur itu merasa ada faedah maka dia datangiah. Kalau tidak, buat apa mereka
   datang? Mereka tentu cari tempat (negara) lain. Tetapi pelabur tempatan kita yang
   kebanyakannya Cina justeru mereka melabur di luar negeri. Mereka cari duit di sini untuk
   melabur di Cina.
 
  Bagaimana pandangan Tengku mengenai pemberian saham-saham seperti kepada
   menantu Rafidah Aziz, anak Datuk Megat Junid dan anak Dr. Mahathir sendiri?

   Baguslah bagi mereka.
 
  Sebab begini, dulu pernah dipersoalkan semasa Tengku menjadi Menteri Kewangan.
   Sekarang perkara yang sama menimpa mereka pula?

   Sebenarnya tak pernah berlaku pada zaman saya perkara sebegitu. Kuasa membagi saham tak
   ada pada kita sama ada Menteri Kewangan ataupun Menteri Perdagangan. Zaman Tan Sri Khir
   Johari hal ini pernah berlaku. Selepas itu tak ada. Tetapi bila Tun Daim jadi Menteri, benda ini
   diwujudkan kembali. Zaman saya tidak ada. Kalau ada sudah lama heboh. Zaman sekaranglah
   ghairah membagi saham. Lagipun pada masa saya dulu tidak ada syarikat yang disenarai dalam
   bursa saham. Zaman saya cuma ada 89 syarikat, termasuk daripada Singapura disenarai sama di
   sini. Kalaupun ada saham yang hendak dibagi menerusi cabutan, tidak ada Menteri yang terlibat.
   Pegawai kerajaanpun tak terlibat kerana ia menerusi sistem cabut undi. Kalau untuk Melayu
   semuanya diberi kepada Tabung Haji, Tabung Tentera, koperasi. Tak perlu kita campur tangan.
   Tak pernah dibagi kepada seseorang. Zaman Khir Johari memang ada sehingga timbul istilah Ali
   Baba. Zaman saya tak ada langsung. Dan kita tak pernah terbabit sama ada Menteri Kewangan
   atau Perdagangan.

   Sekarang ini saham dibagi kepada menantu, kepada anak sendiri. Anak Mahathir pun dapat. Itu
   yang kita dapat kesan. Mungkin lagi banyak yang tidak dapat dikesan. Rafidah pula umumkan di
   Parlimen bahawa bukan menantunya saja yang dapat saham, tetapi juga yang lain-lain. Cuma
   tidak ditanyakan apakah anak Mahathir juga dapat.

   Dan baru sekaranglah Mustapha bagi tahu bahawasanya Anwar pernah perintah secara lisan
   bahawasanya segala permohonan untuk segala saham kontrak yang ditawarkan kepada
   keluarganya ditolak.

   Bayangkan, anak Megat dapat 15 juta. Iparnya pula dapat 5 juta. Anak Tun Hamid (bekas
   Ketua Hakim Negara) dapat 5 juta. Kita ada senarai. Dan senarainya Rafidah yang beri ke
   Parlimen secara tertulis, bukan kita buat-buat. Ini yang kita tahu. Yang kita tak tahu? Mesti
   banyak lagi. Mereka tuduh saya pengkhianat, sedangkan saya cakap benda yang benar. Di
   zaman saya, tak ada berlaku perkara macam ini. Kalau ada berlaku sudah lama saya ditangkap.
 
  Bagaimana pandangan Tengku mengenai isu bahasa dan pendidikan?

   Ada 200 buah lebih kolej swasta yang konsepnya sama dengan konsep universiti merdeka. Dulu
   orang Melayu berarak kerana MCA mahu menubuhkan satu universiti merdeka. Hari ini 200
   buah universiti merdeka atas nama lain seperti Sunway College, Ko/ej Damansara Utama dan
   lain-lain. Dan dari 50,000 lebih pelajar-pelajar di kolej-kolej tersebut, tak sampai 3 peratus
   orang Melayu yang belajar.

   Bagaimana mereka mahu belajar, satu semester RM880.00. Satu tabun sudah berapa? Kalau
   satu semester lulus, mesti bersedia pula dengan wang sebanyak itu untuk semester kedua.
   Sedangkan pelajar-pelajar Melayu yang masuk ke universiti bayar wang pendaftaran
   RM1000.00 lebih saja banyak yang tak mampu dan banyak yang balik kampung. Inikan pula
   RM880,00 satu semester (6 bulan).

   Kolej swasta disebut juga program berkembar kerana akta universiti tidak membenarkan
   universiti ditubuhkan menggunakan selain daripada bahasa Melayn. Jadi terpaksa menggunakan
   kolej swasta yang mengadakan program berkembar. Itu saja caranya. Dan akta sekarang
   dipinda di mana kolej itu dengan sendirinya jadi universiti di mana sudah muncul lebih 200 buah
   kolej swasta.

   Kerana kosnya yang terlalu tinggi, maka orang Melayu tidak mampu untuk belajar di kolej
   swasta. Implikasi seterusnya adalah, pelajar-pelajar Melayu yang belajar di UM, UKM, apabila
   mereka tamat nanti hanya akan jadi masyarakat kelas tiga saja. Ini disebabkan kerana Dr.
   Mahathir sudah buat standard, kalau ingin maju mesti kuasai bahasa Inggeris. Maka
   pelajar-pelajar Melayu yang lulus dari universiti akan menjadi mangsa kerana mereka tidak
   menguasai bahasa Jnggeris. Lepasan-lepasan univerisiti tidak akan diterima bekerja di
   syarikat-syarikat manapun kerana standardnya adalah bahasa Inggeris.

   Bahasa perhubungan sekarang ini didominasi oleh bahasa Inggeris. Akhirnya pelajar-pelajar kita
   hanya menjadi masyarakat kelas tiga di negaranya sendiri. Keadaannya nanti seperti
   pelajar-pelajar yang keluar dari universiti-universiti di India. Semuanva menakutkan!

   Tenaga-tenaga pengajar di kolej swasta pula adalah yang the best saja. Kerana mereka sanggup
   membayar gaji kepada pensyarah-pensyarahnya dengan bayaran yang tinggi. Di universiti,
   pensyarah digaji dalam 2-3 ribu. Di kolej swasta mereka boleh digaji RM5000.00 sebulan.
   Sebab itu universiti sekarang problem, tak cukup tenaga pengajar. Jadi tinggallah tenaga-tenaga
   pengajar yang tak boleh cakap orang putih. Mereka inilah yang mengajar anak-anak Melayu kita
   di universiti tempatan.

   Siapa yang menanggung semua ini kalau bukan anak-anak kita, orang-orang Melayu sendiri?
   Dan esok, anak-anak kita ini, susah mendapat kerja di sektor swasta kerana banyak
   badan-badan kerajaan sekarang yang diswastakan. Paling-paling yang tersisa cuma dari segi
   pentadbiran saja.

   Jadi ke mana pelajar-pelajar Melayu kita nanti bekerja? Sebab orang Melayn tidak ada syarikat
   besar, tidak ada gedung besar, tidak ada perniagaan besar. Akibatnya orang Melayu jadi
   mangsa kepada eksperimen ini. Maka lahirlah dua bentuk masyarakat, pertama yang didominasi
   oleh bahasa Inggeris, kedua yang didominasi oleh bahasa Melayu.

   Apabila Dr. Mahathir menganj urkan kegunaan bahasa asing, termasuk Inggeris, maka di
   peringkat primary, secondary akan menggunakan bahasa Inggeris, tetapi untuk
   universiti-universiti tempatan dikekal dengan bahasa pengantar Melayu. Akan jadi orang
   kampunglah. Maka timbul persepsi seolah-olah sekolah Melayu sekarang ini sama dengan
   sekolah Melayu dulu di zaman British yang dibezakan dengan sekolah Inggeris. Wujudlah
   perbezaan di dalam masyarakat sama ada dari segi pencapaian ekonomi, gaji, status sosial,
   pergaulan. Dan yang keluar kolej swasta ini kelak akan mengontrol ekonomi negara. Cuba lihat,
   berapa orang anak Melayu yang sekolah di kolej swasta. Kalau adapun, anak siapa dia? Dan
   suasanapun sudah bukan suasana Melayu lagi. Nilai-nilai Islam langsung tak ada.

   Di universiti pula sekarang ini, pengajaran sudah dilakukan dalam bahasa Inggeris, terutama
   dalam bidang ekonomi dan pentadbiran. Tetapi problema yang dihadapi pensyarah pula ialah
   bagaimana dia mahu mengajar dalam bahasa Inggeris sedangkan para pelajar tidak mempunyai
   basic bahasa Inggcris. Sepatutnya, kalau bahasa Inggeris ingin diterapkan di universiti, masa
   masih sekolah menengah lagi bahasa Inggeris harus sudah bermula. Tetapi di sekolah menengah
   pula, guru sendiri tidak mengerti bahasa Inggeris.

   Kalau sistem pendidikan di negara ini sudah salah, maka hancurlah masa depan bangsa ini.

 

   Dalam keadaan begitu di manakah kedudukan semangat nasionalime orang Melayu?

   Dalam poket! Kalau ada wang timbul nasionalis, kalau tak ada maka tak timbul semangat
   nasionalis tadi. Pejuang-pejuang bahasa sudah dibeli dengan harga wang ringgit. Kita telah
   melupakan pesanan Tun Razak. Beliau pernah mengingatkan kita: kalau Jepun, Perancis,
   Jerman, Korea boleh maju dengan mengekalkan identiti dan bahasa mereka, mengapa kita
   bangsa Melayu tidak boleh maju? Bukan maknanya kita tidak boleh bercakap dan belajar
   bahasa asing, tetapi biarlah bahasa dominan kita sehari-hari bahasa Melayu. Saya pernah
   tekankan agar jabatan-jabatan kerajaan hanya menerima surat dalam bahasa Melayu. Kalau
   dalam bahasa Inggeris supaya dibakulsampahkan.

   Dengan itu bahasa Melayu akan jadi standard. Orang luar yang ingin berniaga di sini terpaksa
   belajar bahasa Melayu dan mempekerjakan orang-orang Melayu. Dengan itu tinggilah
   kedudukan dan nilai bahasa Melayu.

   Sekarang kalau masuk pejabat saja guna bahasa Inggeris Nama-nama bangunan sudah guna
   nama orang putih. Dan ini merupakan satu permulaan bagi penghancuran identiti suatu bangsa.
   Maka yang menanggung adalah anak-anak kita selama 13 tahun pendidikan mereka.

   Dalam dunia ini negara asing selain Inggeris yang bercakap dalain bahasa Inggeris, yang berjaya
   maju cuma satu saja iaitu Singapura. Itupun kerana negaranya kecil dan negara itu tidak
   mempunyai bahasa tempatan. Singapura tidak mempunyai bahasa kebangsaan. Oleh itu mereka
   terpaksa gunakan bahasa Inggeris.

   Sebuah bangsa hanya boleh disatukan oleh bahasa kerana disitulah budaya dan cara hidupnya.
   Lihat misalnya kegagalan India, Filipina dan semua negara Afrika. Mereka tidak boleh majukan
   negaranya kerana kegagalan di segi pembinaan bahasa kebangsaannya. Sebab menggunakan
   bukan bahasa ibunda sendiri akan menyebabkan terjadi perubahan nilai.